Selangorkini
SELANGOR

MB: Penstrukturan Air Dijangka Selesai September

MB Pc EXCO 13FEB 2013 01

SHAH ALAM 26 JUN : Kerajaan Negeri menjangkakan penstrukturan semula industri air di Selangor akan selesai pada September tahun ini.

Ini berikutan kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan isu berkenaan seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Najib menyatakan kesediaannya untuk berbincang dan meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.

“Dalam sepucuk surat bertarikh 19 Jun, Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau sangat terbuka dan bersedia berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2011 sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Sebelum ini, beberapa siri perbincangan bersama mantan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin serta beberapa pegawai kementerian gagal mencapai persetujuan bersama.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri ketika ini sedang menyiapkan deraf pengambilalihan syarikat konsesi seperti terma dan syarat yang ditetapkan WSIA 2006.

“Kita juga menyiapkan deraf berkenaan tanggungjawab dan bidang kuasa semua pihak termasuk Perbadanan Kementerian Kewangan (MOFIncorp), Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) dan syarikat-syarikat konsesi,” ujarnya lagi.

Abdul Khalid berkata, Najib diharap mendapat mesej jelas tentang kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan penstrukturan semula air demi kepentingan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Pengarang :