Selangorkini
SELANGOR

MPK Minta Orang Awam Prihatin Berkenaan Parkir OKU

MPK tunda kereta

KLANG 6 JUN : Majlis Perbandaran Klang (MPK) meminta orang awam agar prihatin berkenaan ruang parkir kenderaan yang dikhaskan untuk Orang Kelainan Upaya(OKU).

Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, sistem tunda dipraktikkan sejak dua tahun lalu bertujuan mendidik orang awam supaya meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

“Orang awam tidak meletak kereta cara betul. Tujuan sistem tunda kereta ini untuk mendidik orang awam.

“Dari segi statistik pada tahun ini sahaja kita telah bertindak ke atas kesalahan di 11 petak letak kereta OKU dan jumlah orang awam yang menghalang lalulintas sebanyak 776,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam operasi hari ini, MPK telah menunda sebuah kenderaan yang diletak di tempat letak kereta OKU di Bandar Baru Klang.

Bagi kesalahan tersebut, MPK mengenakan denda sebanyak RM300.

Selain itu, Ehsan memaklumkan pihaknya telah membina parkir kereta bertingkat bagi mengatasi masalah ini. Namun ruang parkir ini tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Isunya orang awam tidak mahu menggunakan tempat letak kereta ini. Kita dimaklumkan ada isu keselamatan, pemaju dipanggil dan mereka sudah menyediakan pihak keselamatan.

“Tempat letak kereta bertingkat ini bukan sahaja di Klang kurang berjaya tetapi juga di PBT lain. Tugas kita nak mendidik supaya sistem itu terlaksana,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan MPK akan terus berusaha menambah bilangan tempat letak kereta di Klang termasuk bekerjasama dengan pemaju bagi tujuan itu.

Selain Bandar Baru Klang, beberapa kawasan seperti Klang Selatan dan Jalan Tengku Kelana turut terlibat.


Pengarang :