NGO : Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

NGO : Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara

NGO Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 6 JUN : Gabungan Suara Rakyat 505 hari ini memberi amaran kepada kerajaan bahawa pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi jalanan secara aman selagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meletakkan jawatan.

Gabungan itu turut mengkritik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan SPR di bawah kuasa parlimen yang disifatkan tidak menyeluruh malah diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.


Ia berikutan SPR masih gagal melaksanakan sepenuhnya tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, kata Pengerusi Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim.

Katanya, SPR juga dilihat seperti memuji diri sendiri setelah melaksanakan sebahagian daripada cadangan yang dikemukakan PSC, sedangkan proses PRU-13 terbukti tidak profesional dan penuh muslihat.

“Selagi tuntutan itu tidak dilakukan, gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) akan terus melakukan demonstrasi jalanan secara aman sebagai bantahan terhadap kegagalan mewujudkan sebuah badan pilihan raya yang bebas.

“Rakyat beri peluang kepada SPR untuk jelaskan perkara ini tetapi kepimpinan SPR sangat mengecewakan kerana mereka tolak mentah-mentah segala dakwaan penipuan PRU yang dimaksudkan walaupun perkara itu belum diputuskan di mahkamah.

“Keyakinan orang ramai terhadap SPR kini berada di tahap paling rendah. Kita semua mesti mengecam sebarang langkah penyusunan semula SPR yang tidak menyeluruh mengikut cara sepatutnya,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Dalam pada itu, beliau bersama pimpinan NGO lain berjanji akan memberi sokongan penuh terhadap Perhimpunan 505 pada 15 Jun ini di Padang Merbok dengan menggerakkan seluruh jentera semasa himpunan itu nanti.

“Kami akan bersama-sama menunjukkan semangat solidariti rakyat untuk terus menuntut perletakan jawatan SPR.

“Kami tidak akan mengingkari janji yang telah dibuat dan beralih menyalahkan pihak lain pula. Kami tidak akan lupa, tidak akan berputus asa dan menyerah kalah,” katanya lagi.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION