Pelbagai

Penan Diabaikan Sarawak, Persekutuan Minta Perhatian Selangor

rodziah wanita penan 18 jun 01

SHAH ALAM, 17 JUN: Setelah sekian lama tidak diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri sendiri mahupun Kerajaan Persekutuan, komuniti Penan tampil meminta bantuan daripada Kerajaan Selangor.

rodziah wanita penan juliet 18 jun 01

Ini kerana masyarakat Penan di kawasan pedalaman Sarawak yang bergantung hidup sepenuhnya kepada hasil hutan dan sungai kini umpama hidup dalam buangan apabila hutan ditebang bagi membina empangan.

Seorang wakil penduduk, Juliet Bulan Singa, 21, berkata, aktiviti pembalakan secara besar-besaran di kawasannya menyebabkan penduduk di situ hilang sumber makanan dan kemudahan asas.

“Banyak hutan sudah diceroboh oleh aktiviti pembalakan, oleh kerana itu semua keperluan kami seperti ubat-ubatan, kayu, rotan, binatang semua sudah sukar hendak dicari,” ujarnya yang tinggal di kawasan pedalaman Long Pakan, Sarawak.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tabita De’, 32, berkata, sungai yang dijadikan sumber utama untuk memasak, mencuci pakaian dan membersihkan diri juga diancam kemusnahan apabila tercemar daripada aktiviti pembalakan.

“Kemudahan asas memang tiada, seperti saluran air paip, tandas dan lain-lain.

“Kami sudah tiada air untuk makan, cuci dan mandi dan ramai orang kampung sudah sakit sebab guna air sungai yang sudah dicemari,” ujarnya.

Disamping menghadapi masalah pembalakan, masyarakat Penan turut menghadapi masalah kesukaran mendapat kad pengenalan dan surat beranak serta beberapa kemudahan asas seperti klinik dan sekolah.

rodziah wanita penan tabitha 18 jun 01

Juliet serta wakil wanita Penan ditemui ketika mengadakan perjumpaan bersama Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan satu bentuk bantuan khas kepada masyarakat Penan dalam pelbagai aspek.

“Sebagai konklusi terhadap perjumpaan ini, saya akan hantar ke peringkat Kerajaan Negeri bagaimana bantuan secara tidak langsung boleh diberikan di bawah misi bantuan kita atas dasar kebajikan kepada rakyat di luar negeri Selangor,” ujarnya.

Katanya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim seharusnya memberikan tumpuan lebih serius terhadap masyarakat Penan yang didakwa teraniaya sekian lama.

“Jika Kerajaan Pusat tidak mahu ulangi kesilapan dahulu, maka mereka patut mendengar dan buat keputusan berkenaan kes masyarakat Penan ini,” ujarnya lagi.

Rodziah turut melahirkan rasa terkilan mengenai isu keperluan asas seperti kesihatan yang tidak diambil berat oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Saya dan bersama-sama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang lain akan membawa perkara ini ke tengah.

“Saya cuba menyusun lawatan saya untuk berjumpa sendiri dengan Menteri Wanita untuk membincangkan hal-hal seperti ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor telah menyalurkan bantuan
RM 50,000 kepada masyarakat pribumi Sarawak bagi tujuan penambahbaikkan beberapa keperluan asas.


Pengarang :