Selangorkini
SELANGOR

Petanda Awal Penstrukturan Semula Air Selesai

exco meeting daroyah 5 jun 01

SHAH ALAM 5 JUN : Penstrukturan semula industri air Selangor, yang boleh menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di seluruh negeri dan tawaran saham air oleh rakyat, bakal diselesaikan dalam masa terdekat.

Ini berikutan maklumbalas positif Kerajaan Persekutuan untuk mula semula perbincangan dengan Selangor berhubung pengambilalihan perkhidmatan air oleh Kerajaan Negeri daripada empat syarikat konsensi.

Turut menjadi agenda perbincangan adalah pembinaan loji rawatan mega Langat 2 yang diperjuangkan oleh Kerajaan Persekutuan. Manakala Kerajaan Negeri mahu projek tersebut hanya diteruskan selepas penstrukturan semula industri air.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor dijangka mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berhubung penstrukturan semula industri air selewat-lewatnya minggu depan.

“Maklum balas yang kita dapat adalah positif. Mereka (Kementerian) juga ingin mempercepatkan perbincangan bagi menyelesaikan masalah penyusunan semula industri air dan projek Langat 2.

“Saya sudah dimaklumkan, perbincangan itu boleh jadi hujung minggu ini atau minggu depan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini.

Abdul Khalid menambah perbincangan itu akan dilakukan di antara beliau atau Pegawai Kanan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi bersama Ketua Setiausaha kementerian itu.

Beliau berharap perbincangan dapat menyelesaikan isu teknikal selain mencari mekanisme bagi melaksanakan usaha penstrukturan.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Ia bertujuan mengambialihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta itu bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini pihak konsesi memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Empat syarikat itu terdiri daripada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Sdn Bhd yang masing-masing mengendalikan loji rawatan air mentah.

Sementara Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bertanggungjawab terhadap pengedaran air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Pengarang :