Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Sedia Penempatan Alternatif Untuk Penduduk Kampung Desa Pengasih

MB Desa Pengasih

SUBANG JAYA, 16 JUN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Selangor sudah mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu penduduk Kampung Desa Pengasih yang diarah keluar dari penempatan mereka, Mei lalu.

Menurut Abdul Khalid, antara cadangan itu ialah menyediakan penempatan lain untuk penduduk terbabit dalam tempoh terdekat.

“Pegawai Daerah tidak membenarkan perobohan berlaku dan terdapat perbincangan antara penghuni dan pemaju supaya masalah ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penjenamaan Kompleks 3C, di sini petang semalam.

Dilaporkan penduduk kampung  mula menerima notis perintah mahkamah untuk mengosongkan kawasan tersebut pada 2012, dan syarikat itu mula memfailkan saman pemula ke atas penduduk pada 14 Mei 2013 lalu melalui Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis itu mengatakan semua penduduk kampung terbabit perlu mengosongkan kawasan itu selewat-lewatnya pada 28 Mei lepas.

Bagaimanapun, para penduduk memohon untuk menangguhkan pengosongan tersebut dengan meminta jasa baik pihak berkenaan untuk menyediakan satu penempatan bagi mereka, selain menuntut pampasan hasil tanaman yang diusahakan selama ini.

Penduduk juga mendakwa masih belum menerima pampasan sebanyak RM 7,500 seperti yang dijanjikan daripada pemilik tanah tapak rumah mereka, iaitu sebuah syarikat berkaitan (GLC) Kerajaan Persekutuan.

Difahamkan, tanah seluas 217.5794 hektar itu pernah dipohon oleh penduduk ketika Selangor dibawah BN dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 8 September 1992.

Bagaimanapun, status permohonan penduduk itu tidak diketahui hujung pangkalnya, sehingga pada tahun 2004, tanah tersebut turut dipohon oleh GLC itu.

Permohonan itu kemudiannya diluluskan Dr Mohd Khir, bagi tujuan membina sebuah universiti. Bagaimanapun universiti itu tidak diteruskan.


Pengarang :