Selangorkini
SELANGOR

Selangor Laksanakan Perkhidmatan Bas Tempatan Dalam Dua Bulan

pakatan selangor

SHAH ALAM, 15 JUN : Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyempurnakan serta menambah baik beberapa perkara dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai memenuhi Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama).

Ini termasuk menyediakan perkhidmatan bas tempatan di peringkat PBT dan menyelaraskan undang-undang kecil e-lesen untuk bangunan perniagaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim dalam sidang media berkata, antara rangka lain yang dikenal pasti ialah penambah baikan sistem pengauditan dan pemantauan cara kerja.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada peningkatan kerja warga PBT dan perlesenan burung walit.

“Usaha ini akan diselaraskan untuk seluruh negeri di mana kita akan membuat perbincangan dari semasa ke semasa mengenai perkara tersebut.

“Berhubung perlesenan burung walit, pihak Kerajaan Negeri akan berjumpa dengan pengusaha burung walit sebelum kita membuat keputusan terakhir.

“Butirnya akan diumumkan kemudian bila kita sudah mempunyai langkah yang konkrit,” katanya selepas sesi perjumpaan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam semalam.

Perkhidmatan bas tempatan pula akan dilaksanakan sebagai menepati janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 Pakatan Rakyat Selangor.


Pengarang :