Selangorkini
SELANGOR

Selangor Sedia Bantu Biayai Kos Guaman Petisyen Pilihan Raya

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03

BANGI, 10 JUN: Kerajaan Negeri Selangor bersedia mengeluarkan peruntukkan sumbangan bagi membiayai dana kos guaman kepada mana-mana pihak yang memfailkan petisyen pilihan raya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan usaha memperbaiki proses demokrasi di negara ini dapat berjalan dengan lebih lancar.

“Mereka yang menyaman di mahkamah, jika betul kita dapati usaha mereka itu munasabah dan kita Kerajaan Negeri melalui (Program) Pendemokrasian, akan beri sumbangan atas kos guaman mereka,” kata Abdul Khalid ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Sukan Mahkamah Syariah Kali Ke-2 di sini.

Menurut Abdul Khalid lagi, Kerajaan Negeri sebelum ini turut menjalin kerjasama dengan berkongsikan data yang diperolehi menerusi Program Pendemokrasian Selangor dengan pihak yang yang berusaha mengumpul bukti penyelewengan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Data-data tersebut diperolehi menerusi kaji selidik yang dijalankan oleh Unit Pendemokrasian Selangor sebelum PRU-13 berlangsung.

“Kita juga membenarkan data-data itu dianalisa, Kerajaan Negeri menggalakkan usaha tersebut untuk melahirkan pilihan raya yang adil dan saksama,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Geran Selangorku mengambil langkah pengukuhkan demokrasi dengan menyediakan peruntukkan berjumlah RM5 juta.


Pengarang :