Pelbagai

Siaran Langsung Mesyuarat Majlis PBT Erat Hubungan Dengan Rakyat

logo PBT

SHAH ALAM, 19 JUN : Siaran langsung mesyuarat Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di laman web mampu mengeratkan hubungan antara pihak Majlis dengan masyarakat tempatan.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohammad Ali Khair Abdul Ghafar berkata, tindakan itu bukan hanya memperlihatkan ketelusan PBT dalam melakukan kerja, sebaliknya memberi maklumat kepada rakyat mengenai perkhidmatan dan kerja PBT.

Menurutnya, kebanyakan penduduk setempat beranggapan PBT tidak melaksanakan tugas kerana akses media mereka yang terhad.

“Pada pandangan saya, ia adalah tindakan yang telus malah yang terbaik supaya rakyat lebih nampak kerja kita yang tulus dan ikhlas.

“Banyak insiden terjadi contohnya apabila Ahli Majlis melaksanakan tugasan ada penduduk yang tidak nampak. Maka jika disiarkan ia adalah lebih bagus kerana kita tiada media cetak atau elektronik yang boleh diwar-warkan kepada rakyat.

“Apa yang PBT buat sekarang tidak sampai kepada rakyat, jadi pada dasarnya tindakan itu sememangnya bagus,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Bagi Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azizan Jamaludin, usaha itu disambut baik kerana baginya tiada apa yang perlu diselindungkan daripada pengetahuan orang ramai mengenai pihak Majlis.

“Kita buat segala-galanya mengikut kehendak masyarakat, kita cuba laksanakan segala yang mungkin. Apabila kita siarkan secara langsung, masyarakat tahu apa yang kita setuju dan tidak.

“Dengan cara itu, masyarakat tidak boleh menyalahkan PBT kalau sesuatu berlaku. Masyarakat juga perlu peka dengan segala masalah yang datang dan membantu menyelesaikannya secara bersama dan bukan bergantung kepada PBT semata-mata,” ujarnya.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ismail Arsat pula beranggapan siaran mesyuarat secara langsung membuktikan pihak PBT lebih terbuka dan membolehkan rakyat bertindak sebagai pemerhati.

“Mesyuarat itu sememangnya sudah terbuka cuma tidak ditunjukkan secara langsung, namun kita tiada masalah jika tindakan ini dilakukan.

“Sekarang ini sudah terbuka, tetapi jika disiarkan secara langsung ia lebih terbuka. Penduduk dapat lihat apa yang kita bincangkan dan bagaimana sesuatu cadangan itu diluluskan,” jelasnya.

Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MPS adalah PBT pertama yang telah menyiarkan mesyuarat bulanan secara langsung bermula awal tahun ini.

“Masyarakat boleh perhatikan dan tahu apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat majlis, malah kebaikannya ialah mereka boleh beri respon dalam perbincangan itu.

“Ini menunjukkan wujud interaksi antara masyarakat dengan kita,” katanya.


Pengarang :