Pelbagai

Surendren: Kerajaan Perlu Ambil Serius Saranan Hakim Berkenaan IPCMC

surendran speech mic 01

KUALA LUMPUR, 26 JUN : Kerajaan Malaysia perlu mengambil serius saranan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk VT Singham yang menyokong cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera bagi menangani peningkatan kes kematian dalam tahanan.

Naib Presiden PKR, N Surendran ketika ditemui berkata, saranan mahkamah itu seharusnya dipandang serius oleh pihak kerajaan bagi memberi jaminan supaya kematian dalam tahanan dapat dikurangkan.

“Ini adalah kritikan hebat dan perlu diambil perhatian oleh kerajaan walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hami di nyatakan sebelum ini ia tidak perlu,” katanya.

Singham berkata demikian ketika membacakan penghakimannya dalam kes saman ke atas polis dan kerajaan yang dikemukakan oleh keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia, A Kugan empat tahun lalu.

Jelasnya, saranan suruhanjaya siasatan diraja untuk menubuhkan IPCMC tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.

Tindakan ini katanya perlu dilakukan secepat mungkin bagi memberi keyakinan kepada semua pihak termasuk anggota keluarga individu yang meninggal dunia.

Surendren yang juga Ahli Parlimen Padang Serai turut mengesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meletak jawatan apabila mahkamah memutuskan Khalid cuai dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Polis Selangor ketika itu.

“Ia adalah keputusan mahkamah yang amat penting kerana hakim dengan jelas menyatakan bahawa Kugan dibunuh semasa berada dalam tahanan polis.

“Khalid tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri Dalam Negeri untuk memberi respon segera terhadap kejadian ini.

“Saya mahukan jawapan jelas daripada menteri dan bertindak sesuai dengan apa yang dibangkitkan untuk mendapat maklumat jelas tentang apa yang berlaku,” tegasnya.

Statistik 2000 hingga Mei 2013 menunjukan seramai 231 kes kematian dalam lokap dicatatkan.


Pengarang :