Selangorkini
NASIONAL

Tony Pua : Jonker Walk Ditutup Atas Arahan Idris

Tony Pua Ceramah 01

KUALA LUMPUR, 26 JUN : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa isu penutupan pasar Jonker Walk di Melaka mempunyai kaitan politik dan menunjukkan sikap ‘kecil hati’ Ketua Menterinya, Datuk Idris Haron terhadap kaum Cina di negeri itu.

Tony berkata, ia merupakan satu arahan yang diakui sendiri oleh Idris berikutan peralihan sokongan penduduk Melaka kepada DAP dan bukannya Umno-BN.

Malah katanya, melalui satu surat pekeliling yang dikeluarkan Exco Negeri kepada Datuk Bandar Melaka jelas menyatakan bahawa Jonker Walk perlu kekal dibuka kepada lalu lintas dan bukannya untuk tempoh percubaan.

Pekeliling itu juga dengan jelas menyatakan bahawa peniaga tidak lagi dibenarkan untuk membuka gerai di mana-mana tempat di jalan berkenaan.

“Ketua Menteri Melaka memaklumkan sebelum ini bahawa Jonker Street hanya akan ditutup selama empat minggu untuk meringankan aliran trafik di kawasan tersebut dan selepas itu ia akan dibatalkan (penutupan jalan).

“Tetapi kenyataan itu sama sekali bertentangan dengan surat daripada Exco Negeri Melaka yang secara jelas menyatakan jalan itu perlu ditutup serta-merta dan langsung tidak menyebut tentang kajian trafik,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Parlimen, pagi tadi.

Beliau turut menyeru Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz supaya mengambil tindakan segera dengan membatalkan arahan penutupan pasar itu berikutan ia tidak bersangkut paut dengan masalah trafik.

Jelasnya, ia bukan sahaja tidak adil kepada peniaga di kawasan itu, malah akan menjejaskan bidang pelancongan terutama di negeri Melaka dan Malaysia amnya.

“Menteri berkenaan perlu ambil tindakan segera kerana ia membabitkan tindakan atau hukuman terhadap kaum bukan Melayu di Melaka dan ia sama sekali tidak wajar,” katanya lagi.

Isu berkenaan timbul susulan dakwaan Adun Kesidang, Chin Choong Seong bahawa penutupan pasar Jonker Walk oleh Kerajaan Negeri Melaka merupakan ‘pembalasan’ kepada pengundi Cina yang menyokong pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Laporan Kwong Wah Daily pula pada hari Isnin lalu memetik kenyataan Idris yang berkata, mesyuarat anggota exco pada 12 Jun lalu memutuskan untuk menutup pasar malam berkenaan demi memenuhi hasrat rakyat.


Pengarang :