Selangorkini
NASIONAL

Turun Harga Kereta : Utusan dan Umno-BN Cuba Kelirukan Rakyat

Turun Harga kereta

SHAH ALAM 13 Jun : Syarikat pembuat kereta telah menafikan laporan Utusan Malaysia pada 9 Jun bahawa harga setengah model kereta mereka telah diturunkan sehingga 11 peratus sebagai melaksanakan manifesto Umno-BN.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan akhbar pro-Umno itu bahawa 10 model kereta telah turun harga sejak Januari tahun ini, menunjukkan Umno-BN terus mahu memperbodohkan rakyat.

Nik Nazmi berkata syarikat pembuat kereta Volkswagen Malaysia dan Peugeot Malaysia telah menafikan bahawa harga kereta mereka diturunkan seperti yang didakwa di dalam laporan Utusan itu.

“Utusan mestilah memohon maaf segera kepada semua rakyat Malaysia disamping pembuat-pembuat kereta di atas berita ini,” Nik Nazmi berkata dalam satu kenyataan media.

Laporan Utusan itu mendakwa 10 model kereta termasuk Volkswagen, Peugeot, Proton dan Perodua telah diturunkan harga sebanyak 11 peratus.

Utusan mendakwa ini adalah bukti perlaksanaan janji manifesto Umno-BN yang diumumkan pilihanraya umum ke-13.

Semakan di laman sesawang Peugeot Malaysia mendapati harga bagi model 308 tidak berubah 15 Februari tahun ini. (http://www.peugeot.com.my/media/deliacms/media/10/1073-da3c60.pdf)

Iaitu RM 99,561.50 sebuah, tanpa insuran, tanpa cukai jalan, tanpa nombor plet dan tanpa fi berkaitan.

Keseluruhannya, harga atas jalanraya bagi kegunaan individu berserta insuran adalah RM 102,888.00, nilai yang sama Utusan dakwa diturunkan Kerajaan Persekutuan Umno-BN.

Percanggahan yang sama juga dikesan semasa menyemak harga bagi kereta Honda Jazz Hybrid. Wartawan kami menghubungi Honda Malaysia yang mengesahkan bahawa harga RM 89,900 itu tidak berubah sejak ia dilancarkan.

Manakala semakan di Volkswagen Malaysia mendapati harga bersih GOLF GTI tetap RM157,888 sebuah. Laman sesawang mereka tidak menyatakan bila laman kali terakhir laman itu dikemaskini.

http://www.volkswagen.com.my/en/models/the-golf/trimlevel-overview.s9_trimlevel_detail.suffix.html/the-golf~2Fthe-golf.html#/tab=9fbdaf5858d6041ddbafd65215e66cc1

Menurut laporan TheMalaysianInsider, laman facebook rasmi bagi Peugeot Malaysia tidak mahu dikaitkan dengan laporan Utusan tersebut.

Manakala laman facebook rasmi Volkswagen Malaysia berkata harga bagi GOLF GTI adalah RM 157,888 sejak ia dilancarkan.

?Laporan Utusan bahawa 10 model kereta telah mencatatkan penurunan harga adalah suatu percubaan terdesak untuk memperbodohkan rakyat,” kata Nik Nazmi.

Menurut Nik Nazmi, apabila Pakatan mula melancarkan kempen #TurunkanHargaKereta, Umno-BN mendakwa bahawa mustahil untuk melaksanakannya.

Umno-BN memberi alasan bahawa ia tidak dapat dilaksanakan kerana mahu melindungi pembuat kereta tempatan di samping kerajaan akan kehilangan hasil.

“Akhirnya, selepas manifesto pilihan raya Pakatan dilancarkan, Umno-BN menyertakan penurunan harga kereta di dalam janji mereka dengan tekad menyemak semula Dasar Automotif Negara untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus,” kata Nik Nazmi.

Beliau berkata, komitmen untuk menurunkan harga kereta oleh Umno-BN dibuat hanya selepas mereka menyedari betapa popularnya kempen #TurunkanHargaKereta Pakatan.

Namun sehingga ke hari ini kerajaan Umno-BN didakwa gagal mencari mekanisme untuk berbuat demikian tanpa menghapuskan kebergantungan kerajaan terhadap duti eksais.

“Malangnya kerajaan gagal memberikan butir-butir bagaimana mereka merancang untuk melaksanakan dasar ini tanpa mengurangkan duti eksais.”


Pengarang :