NASIONAL SELANGOR

20 Tahun Tiada CF, Penduduk Minta Ehsan Kerajaan Negeri

flet kos rendah pra CERIA batu caves 02

GOMBAK 31 JULAI : Penduduk di Flat Pinggiran Batu Caves kini mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah sijil layak menduduki (CF) yang dihadapi mereka.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk flat berkenaan, Hamid Jusoh, 53, masalah CF yang dihadapi mereka telah tertangguh selama hampir 20 tahun dan tiada pihak yang serius membantu menyelesaikannya.

“Kami berharap Kerajaan Negeri dapat membantu menyelesaikannya kerana sudah terlalu lama kami menunggunya,” katanya.

Beliau ditemui di Majlis Berbuka Puasa Kempen Pangsapuri Kita Bersih Ceria Bersama Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad di perkarangan flat berkenaan petang semalam.

Hamid berkata, flet yang mempunyai sembilan blok itu turut menghadapi masalah penyelenggaraan seperti bangunan yang sudah usang dan masalah sampah.

“Saya juga berharap Kerajaan Negeri dapat membantu melalui skim Ceria untuk flat kami,” katanya lagi.

Bagi penduduk flat berkenaan, Rohizam Mohd, 41, beliau terpaksa mendiami flat berkenaan kerana tidak mampu mencari rumah lain yang lebih selesa dengan pendapatannya yang sederhana.

“Kalau saya mampu, sudah pasti saya akan keluar mencari rumah lain, mereka yang duduk di flat kebanyakannya berpendapatan rendah dan sederhana, sampai bila kami hendak tunggu,” katanya.

Bagi Marina Mohd, 55, beliau mendiami rumah berkenaan dalam keadaan ketakutan dan tiada jaminan berikutan tiada CF yang menjamin keselamatan bangunan itu.

“Makcik duduk di sini dengan anak-anak, kita tak tahu kalau jadi apa-apa pada bangunan rumah ini, saya minta sangat-sangat agar ada pihak yang boleh tolong selesaikannya,” katanya.

flet kos rendah pra CERIA batu caves 01


Pengarang :