NASIONAL SELANGOR

56 Permohonan Pendahuluan Nafkah BSK Selangor Telah Diluluskan

rodziah DUN gulung

SHAH ALAM, 2 JUL : Sebanyak 56 permohonan pendahuluan nafkah ibu tunggal di seluruh negeri telah diluluskan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JKSS) dengan nilai RM 186,650 sehingga kini.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, pembayaran pendahuluan nafkah tersebut disumbangkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Setakat ini, katanya, BSK telah membuat pembayaran pendahuluan nafkah bulanan kepada 32 ibu tunggal sementera menunggu mahkamah syariah menguatkuasakan perintah nafkah terhadap pihal suami.

“Pembiayaan nafkah anak bagi pasangan Islam yang bercerai oleh BSK adalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ibu tunggal ketika proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah dilakukan di Mahkamah Syariah.

“Penerima yang … layak akan menerima bantuan pendahuluan nafkah mengikut jumlah nafkah yang diperintahkan oleh mahkamah selama enam bulan atau sehingga suatu tempoh lanjutan yang diluluskan oleh jawatankuasa yang dilantik khas,” jelasnya di dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Haniza Talha (PKR-Taman Medan) berhubung status perlaksanaan Bantuan Sokongan Keluarga untuk membiayai nafkah anak bagi pasangan Islam yang bercerai, di sini hari ini.

Menurut Rodziah, pembayaran pendahuluan nafkah ini bukanlah suatu bantuan mutlak. Sebaliknya ia merupakan pendahuluan nafkah yang akan dikutip semula oleh JKSS daripada bekas suami yang ingkar terhadap perintah mahkamah.

“Dengan kata lain, pembayaran nafkah ini bukanlah dengan matlamat untuk mengambil alih tanggungjawab bekas suami atau bapa dalam melaksanakan tanggungjawab agama dan undang-undang, tetapi untuk meringankan bebanan ibu dan anak-anak,” katanya.


Pengarang :