NASIONAL

Abdul Aziz Nafi Ada Hubungan Dengan Pembekal Dakwat Kekal PRU 13

SPR abdul aziz thumbs 01

SHAH ALAM 17 JUL : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini menafikan bahawa beliau dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar merupakan kenalan rapat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

Dalam satu kiriman ‘Sistem Pesanan Ringkas’ (SMS) kepada TVSelangor, Abdul Aziz memberitahu beliau dan Wan Ahmad tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat yang didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat semalam.

“Saya dan timbalan saya dengan tegas menafikan dakwaan MP Pandan itu.

“Hal-hal yang berkaitan dengan operasi pentadbiran perolehan diuruskan oleh Urusetia SPR.

“Panel SPR hanya menentukan keputusan dasar dan hala tuju sahaja,” ujar beliau.

Di dalam ucapannya di dalam Dewan Rakyat semalam, Rafizi mendedahkan nama seorang individu, Mohamed Salleh Mohamed Ali daripada Singapura yang didakwa pemilik kepada syarikat pembekal dakwat kekal yang mencetus kontroversi pada PRU13 lalu.

Syarikat Mohamed Salleh, Integrated Challenger (M) Sdn Bhd, didakwa mendapat kontrak membekal dakwat tersebut melalui proses rundingan terus.

Parti Pakatan Rakyat dan beberapa NGO telah memfailkan laporan polis terhadap SPR dengan mendakwa dakwat tersebut boleh dihilangkan dengan membasuh tangan dengan sabun selepas dicalit.

Rafizi mendakwa Mohamed Salleh adalah seorang pakar rundingan terus yang juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara termasuk Pengerusi SPR dan Timbalannya.

Kata Rafizi lagi, selain membekalkan dakwat tersebut, syarikat itu mendapat kontrak pembekalan peralatan lain pada PRU13 termasuk topi dan t-shirt, selain pernah mendapat kontrak secara rundingan terus dariapda Kementerian Pertahanan.

Pendedahan Pakar Strategik PKR itu dibuat susulan tindakan SPR yang sering berdolak dalih dan tidak mendedahkan nama pembekal dakwat berkenaan biarpun berkali-kali didesak berbuat demikian.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kos pembelian dakwat kekal yang tidak kekal itu meningkat tiga kali ganda daripada RM 2.4 juta kepada RM 7.1 juta pada PRU13 lalu.


Pengarang :