NASIONAL SELANGOR

“Awas” Usaha Komprehensif Tambah Baik Pelan Tindakan Wanita

skim tunas halimah haniza teresa 01

Kerajaan Negeri disarankan supaya melaksanakan “Agenda Wanita Selangor” atau Awas yang bertujuan menambahbaik program-program bantuan kepada wanita di negeri ini.

Antara program agenda itu yang dicadangkan ialah memperkenalkan Caruman Wanita Selangor yang bertujuan mengiktiraf sumbangan wanita terhadap pembangunan keluarga di negeri Selangor.

Haniza juga menyeru Selangor mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak harian (Day Care Centre) bagi membolehkan wanita berkerjaya menghantar anak-anak mereka.

Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata, agenda pemberdayaan wanita ini dilihat sebagai satu saluran untuk memberi manfaat secara langsung kepada golongan wanita.

“Apabila dilihat daripada cadangan yang dikemukakan, ia sangat berbeza dengan program-program Kerajaan Negeri sedia ada seperti si Kembar, Tunas, Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) mahupun Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel).

“Awas adalah satu program khusus dan terus kepada wanita sesuai dengan konsep Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap wanita khasnya dan rakyat amnya,” kata Haniza dalam sidang media selepas sesi perbahasan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penambahbaikan terhadap program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sedia ada seperti memberikan Hadiah Anak Masuk Universiti kepada semua keluarga tanpa mengira paras berpendapatan.

Selain itu, beliau juga memohon supaya pemberian biasiswa negeri kepada pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) diperluaskan bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tambahnya, program menangani kemiskinan bandar juga perlu diberi perhatian seperti menyediakan makanan asasi kepada mereka yang mempunyai pendapatan di bawah garis minima.


Pengarang :