SELANGOR

Chang Khim : Kuatkuasa Undang-Undang Struktur Tambahan Tanpa Izin

teng chang kim

SEPANG 15 JULAI : Mulai tahun depan, individu yang terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram, pengusaha kafe siber dan rumah urut serta pemilik bangunan yang terlibat dengan penyambungan struktur tambahan tanpa izin bakal berdepan dengan tindakan undang-undang yang lebih berat oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata langkah itu diambil secara serius oleh Kerajaan Negeri bagi membanteras kegiatan-kegiatan yang melanggari peraturan.

“Saya berikan peringatan ini kepada semua pihak bahawa tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang menyalahi undang-undang dan peraturan.

“Perkara ini sudah dibincangkan ke semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri dan kita sedang mengkaji undang-undang yang sesuai dengannya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), di sini.

Antara tindakan yang akan diambil terhadap aktiviti pembuangan sampah haram, pihaknya akan mendakwa individu yang terlibat dan pemilik tanah ke mahkamah selain menaikkan kompaun.

Manakala bagi kegiatan kafe siber, tindakan penyitaan harta termasuk rampasan premis akan dilakukan.

Selain itu, katanya, beliau memberikan tempoh enam bulan kepada pemilik bangunan termasuk restoran dan kilang untuk merobohkan struktur tambahan yang tidak mendapat kelulusan PBT.

“Kita berikan masa kepada mereka sehingga akhir tahun ini dan jika berdegil kita akan merobohkan struktur itu dan berdepan dengan undang-undang kerana kegiatan ini menyebabkan kerosakan jalan dan insfrastruktur lain,” katanya.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, Teng Chang Khim mengakui hukuman sedia ada kurang berkesan kepada pesalah menyebabkan kegiatan itu berterusan.

Oleh itu, pihaknya mahu membuat kajian terperinci untuk memberikan hukuman yang lebih keras kepada pesalah.


Pengarang :