NASIONAL SELANGOR

Dana Wakaf Ilmu UPM Berjaya Kumpul Lebih RM 2.4 juta Bagi Bantu Pelajar Miskin

dana wakaf ilmu UPM sultan selangor mb 011

SERDANG 20 JULAI : Dana Wakaf Ilmu Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diwujudkan dua tahun lalu berjaya mengumpul lebih
RM 2.4 juta hasil sumbangan pelbagai pihak seperti warga industri, rakan korporat dan warga universiti itu sendiri.

Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, perkembangan itu membanggakan bagi UPM yang berusaha memperkasakan pendidikan negara dengan memberi peluang pendidikan tinggi kepada golongan miskin.

Menurutnya, Dana Wakaf Ilmu telah disempurnakan pelancarannya oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor UPM pada 16 Ogos 2011 lalu.

“Hasrat utama Dana Wakaf Ilmu ini mewujudkan dana untuk pembiayaan pendidikan di universiti untuk generasi akan datang lebih-lebih lagi golongan miskin yang tidak mampu membiayai pengajian mereka.

“Kita percaya bahawa ilmu pengetahuan mempunyai kekuatan yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat dan tamadun yang baru.

“Usaha seumpama ini berupaya memperkukuhkan jati diri yang tinggi di kalangan generasi muda pada hari ini,” katanya dalam ucapan pada Majlid Berbuka Puasa dan Solat Terawih bersama Tuanku Canselor UPM di Dataran Masjid UPM.

DYMM Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan kepada 50 pelajar sekolah dan 30 pelajar UPM yang merupakan golongan asnaf miskin.

Baginda turut berkenan menerima zakat perniagaan oleh UPM Holding Sdn Bhd berjumlah RM 173,000 dalam majlis berkenaan.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kata Mohd Fauzi, DYMM Sultan Selangor selaku Tuanku Canselor universiti sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bersama-sama rakyat bagi menunaikan ibadah, beramah mesra dan mengambil kesempatan menyalurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

dana wakaf ilmu UPM sultan selangor mb 012


Pengarang :