SELANGOR

“Diskusi Khas Muslimat” Diperluaskan Seluruh Selangor

diskusi muslimat rodziah 20 ju 01

SHAH ALAM 21 JULAI : Program Diskusi Khas Muslimat sempena Ramadan peringkat negeri akan diperluaskan lagi ke surau-surau di kawasan perumahan pada tahun hadapan berikutan sambutan yang menggalakkan sejak ia dilancarkan dua tahun lalu.

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memberdayakan wanita, program wanita dan agama seperti ini perlu diperluaskan lagi.

Katanya, ia bertujuan untuk menyemarakkan kehadiran bulan Ramadan menerusi penyampaian ilmu Quran dan Sunnah bagi diaplikasikan dalam kehidupan.

“Sambutan program ini tidak kurang dari 350 orang yang hadir. Seperti di Masjid Negeri ini, seramai 1,500 wanita hadir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program terbabit di Masjid Negeri, di sini.

diskusi muslimat rodziah 20 ju 04Beliau berkata tahun ini, sembilan masjid di sembilan daerah akan melaksanakan program tersebut dengan gabungan program-program lain antaranya wanita dan kebajikan, wanita dan keselamatan, wanita dan kesihatan.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 khas untuk program wanita dan agama tahun ini.

“Kali ini, kita juga mencetak buku-buku ilmiah untuk diedarkan kepada peserta. Kerajaan Negeri melihat, kita perlu mengadakan program wanita bukan sahaja kebajikan tetapi juga perihal agama untuk menangani isu wanita.

“Kita jadikannya sebagai program tahunan. Kita memilih masjid-masjid yang kurang imarahnya untuk diadakan program ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu wanita-wanita hadir untuk mendengar dan memahami pengisian yang disampaikan oleh penceramah bukannya hadir hanya disebabkan siapa penceramah yang dijemput tetapi tajuk yang akan disampaikan.

diskusi muslimat rodziah 20 ju 03Program yang diberi nama ?Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam? itu antara lain meliputi sesi solat sunat dhuha dan tasbih, zikir munajat, majlis tadarus, penyampaian ceramah dan tayangan video Informasi Rakyat.

Ia bermula dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari dan dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) .

Antara barisan penceramah itu, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ustazah Zawiyah Hassan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jais, Zaki Arshad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jais, Mazlan Abdullah dan Adun Seri Serdang, Nurhanim Ismail.


Pengarang :