SELANGOR

Dr Daroyah Santuni Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah

daroyah Hospital Tengku Ampuan Rahimah

KLANG 23 JULAI : Seramai 150 pesakit di wad pembedahan, wanita dan lelaki, Hospital Tengku Ampuan Rahimah menerima 150 kotak kurma sempena bulan Ramadan ini.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata sumbangan terbabit merupakan salah satu cara mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.

“Sumbangan kurma ini daripada Kerajaan Negeri. Ini salah satu cara saya sebagai exco baru mendekatkan diri dengan masyarakat termasuk pesakit hospital.

“Untuk hari ni kita hanya memberikan di tiga wad sahaja, Insyaallah lain kali kita berikan di semua wad,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kurma.

Hadir sama Timbalan Pengarah Hospital, Dr Zainab Ramli.

Pada majlis itu juga, antara yang turut menerima sumbangan buah kurma ialah kakitangan hospital di ketiga-tiga wad terbabit.

Selain mengedarkan kurma, Daroyah turut berkesempatan melawat pesakit-pesakit itu.

Dalam lawatan itu, isteri kepada pesakit buah pinggang yang mahu dikenali sebagai Ha bin, 70, terharu dengan kunjungan Daroyah yang juga Adun Sementa.

Ha Bin, yang setia menjaga suaminya, Seau Swee Pin, 70, penghidap penyakit buah pinggang sejak enam tahun lalu, mengalirkan air mata ketika menerima kunjungan.

“Saya rasa sangat terharu sebab sebelum ini tiada sesiapa yang datang menjenguk kami. Terima Kasih YB sudi melawat kami,” katanya sambil menangis.

Selain itu, bagi Asiah Hassan, 67, keprihatinan Kerajaan Negeri patut dipuji kerana sudi melawat pesakit selain menyampaikan sumbangan Ramadan.


Pengarang :