SELANGOR

FOMCA : Siasat Monopoli Pengeluaran Ayam Tentukan Harga Tinggi

AYAM fomca

SHAH ALAM 13 JUL : Bagi mengawal harga ayam yang seringkali meningkat menjelang musim perayaan, Kerajaan Persekutuan disarankan untuk menyiasat samada wujudnya monopoli pihak tertentu yang mengambil kesempatan menaikkan harga di peringkat ladang lagi.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata langkah itu merupakan antara alternatif yang boleh dilaksanakan sejajar dengan kewujudan Akta Persaingan 2010.

“Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) boleh jalankan siasatan untuk memantau jika terdapat suatu pakatan monopoli di kalangan penternak dan pengeluar yang menentukan harga ayam meningkat.

“Dengan ini, tindakan boleh diambil terhadap pihak yang memonopoli dan menstabilkan kembali harga ayam, memastikan harga ayam bebas daripada ditentukan golongan tertentu,” tegas Yusof ketika dihubungi.

Selain itu, Yusof juga turut mencadangkan agar Kerajaan Pusat dapat membenarkan bekalan ayam diimport daripada luar negara bagi menyaingi bekalan ayam tempatan untuk mengimbangi harga di pasaran.

“Ini bukan sahaja akan memberi persaingan sihat kepada pasaran ayam tempatan, tetapi dengan langkah ini harga ayam juga secara tidak langsung dapat distabilkan,” katanya.

Beliau mengulas kenaikan harga ayam yang naik mendadak sejak dua minggu lepas; kenaikan sehingga RM 8.50 dan RM 9.00 bagi setiap kilogram berbanding RM 6.50 dan RM 7.60 sekilogram sebelum ini.

Semalam, Menteri KPDNKK, Datuk Hasan Malek berkata, Kerajaan Pusat akan melaksanakan Skim Kawalan Harga musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013 bermula pada awal Ogos ini.

Katanya, dalam tempoh itu, harga ayam akan ditentukan kerajaan dan para peniaga dan pengeluar ayam harus akur dengan penetapan harga tersebut.

Pada hari biasa dan bukan musim perayaan iaitu pada luar tempoh Skim Kawalan Harga, harga ayam dalam pasaran tidak dikawal dan ia ditentukan berdasarkan permintaan dan penawaran.

Mohd Yusof menambah pengguna dapat membantu dengan mengurangkan permintaan terhadap pengambilan ayam, dan mengimbangi dengan pengambilan sumber lain seperti daging, ikan, dan juga sayur-sayuran.

“Permintaan yang terlalu tinggi sehingga dua kali ganda antara penyebab harga ayam naik, jadi kurangkan permintaan ayam dan ambil sumber makanan lain yang juga berkhasiat,” jelas Yusof.


Pengarang :