SELANGOR

Guan Eng : Kurangkan Pendakwaan Politik Tambah Polis Tempur Jenayah

LOGO POLIS BARU-EDIT

SHAH ALAM 30 JULAI : Serangan terhadap seorang aktivis anti-jenayah dan tokoh institusi kewangan negara oleh pembunuh bersenjata api haruslah mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menambah nisbah anggota polis dalam memerangi jenayah daripada 14.2 peratus ke 50 peratus.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata polis haruslah diberi kuasa untuk memberi tumpuan terhadap membanteras jenayah berbanding menyintip pergerakan ahli politik.

Katanya berdasarkan statistik yang diberikan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini di dalam Dewan Rakyat, hanya 14.2 peratus daripada jumlah 112,583 anggota ditugaskan untuk memerangi jenayah.

Iaitu Jabatan Siasatan Jenayah mempunyai 10,150 anggota (9 peratus), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik – 4,224 anggota (3.8 peratus) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil – 1,663 (1.4 peratus).

Guan Eng berkata, Kementerian Dalam Negeri enggan mendedahkan jumlah anggota yang ditugaskan di dalam Cawangan Khas.

“Ia tidak boleh diterima bahawa hanya 9 peratus daripada anggota polis terlibat secara langsung dalam membanteras jenayah di jalanan.

?Malah jika termasuk anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, jumlahnya hanya 14.2 peratus.

“Bilangan anggota polis yang terlibat dalam membanteras jenayah tidak harus 14.2 peratus tetapi mesti sekurang-kurangnya 50 peratus.

?Dalam erti kata lain perlu ada sekurang-kurangnya 56,000 anggota polis berpakaian seragam berkawal di jalan-jalan dan bukan 16,037 anggota polis sahaja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Pengasas Arab Malaysia, Hussain Ahmad Najadi ditembak mati di sebuah tempat letak kereta di Jalan Raja Chulan oleh seorang lelaki, ketika beliau dan isteri dipercayai berjalan keluar dari tokong Cina Kuan Yin.

Sabtu lalu pula, pengerusi NGO anti-jenayah Malaysian Crime Watch Task Force (MyWATCH) Sri Sanjeevan Ramakrishnan cedera parah selepas ditembak oleh seorang pembonceng motosikal di Jempol, Negeri Sembilan.


Pengarang :