SELANGOR

Hanya Pelabuhan Klang Catat Indek Jerebu Tidak Sihat

jerebu

SHAH ALAM 23 JULAI : Setakat pukul 11 pagi hari ini, hanya satu daerah di Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu di Pelabuhan Klang dengan catatan IPU 103.

Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Banting yang mencatatkan bacaan IPU 111 (tidak sihat) pada petang semalam dan hari ini menurun kepada IPU 94 iaitu tahap sederhana.

Selain itu, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Shah Alam juga masih mencatatkan kadar bacaan IPU sederhana, masing-masing dengan bacaaan 92, 93 dan 92.

JAS dalam laporan media menjelaskan punca kemerosotan kualiti udara disebabkan jerebu merentasi sempadan dan pencemaran ozon di permukaan bumi yang lazimnya berlaku pada awal petang akibat tindak balas nitrogen oksida dan sebatian organik meruap daripada pelepasan ekzos kenderaan bermotor.

Jerebu yang melanda semula negara khususnya di sekitar pantai Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dijangka berlanjutan untuk tempoh singkat akibat daripada perubahan corak tiupan angin.

Selain Pelabuhan Klang, turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat pukul 11 pagi tadi ialah Muar (IPU 111) dan Bukit Rambai (IPU 104).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Bulan lepas, Malaysia mengalami jerebu yang agak teruk sehingga ada kawasan mencatatkan tahap pencemaran udara berbahaya dan sekolah terpaksa ditutup sementara.


Pengarang :