NASIONAL

IGP Digesa Dedah Hasil Siasatan Dakwat Kekal

pengundi jari dakwat port klang 01

KUALA LUMPUR 11 JULAI : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar didesak supaya segera mendedahkan hasil siasatan polis terhadap laporan dakwat kekal yang tidak kekal semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Sehingga 3 Jun lalu, polis menerima 1,469 aduan berkaitan dakwat kekal di seluruh negara.

Sehubungan itu, MP Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Khalid perlu mengumumkan hasil siasatan kepada umum dan tindakan yang seharusnya diambil.

“Persoalan asas yang saya ingin bangkitkan, oleh kerana laporan itu banyak, saya nak tanya pada IGP, dengan ‘volume’ yang besar ini, apakah tidak ada hasil siasatan yang dilakukan,” soal Ketua AMK itu.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan di Sidang Dewan Rakyat bahawa kos untuk dakwat kekal pada PRU-13 lalu sebanyak RM 7.1 juta.

Kos berkenaan meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding PRU-12 pada 2008 lalu.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdolak dalih dan menafikan bahawa tiada gangguan dilakukan polis terhadap orang ramai yang ingin membuat laporan berkenaan dakwat kekal di balai polis.

Shamsul berkata, Zahid menyatakan polis tidak menerima sebarang maklumat berkenaan gangguan.

Walhal pelbagai media sudah mendedahkan bagaimana orang ramai terpaksa menjalani prosedur berbeza ketika ingin membuat laporan polis berkenaan dakwat itu.


Pengarang :