NASIONAL SELANGOR

Iskandar : 15,105 Ditawar Miliki Rumah Kos Rendah

iskandar-11

SHAH ALAM 2 JULAI : Seramai 15,105 orang pemohon ditawarkan untuk memiliki rumah kos rendah dari tempoh 2008 hingga 2013.

Manakala seramai 1,568 pemohon ditawarkan oleh Kerajaan Negeri untuk memiliki Rumah Mampu Milik sejak ia diperkenalkan dari tahun 2011 sehingga 30 Mei 2013.

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata bilangan itu adalah pemohon yang dibantu untuk memiliki rumah sendiri.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri juga sudah melaksanakan penambahbaikan kepada proses penawaran rumah kos rendah.

“Antaranya pemilihan nama-nama pemohon yang berjaya ditawarkan dilakukan oleh satu jawatankuasa berpusat kendalian Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk memastikan pengagihan yang adil dan bebas.

“Selain itu, mempamerkan nama-nama pemohon yang berjaya bagi projek-projek baru pada laman web LPHS selama dua minggu untuk memberi peluang kepada pihak-pihak yang tidak berpuas hati untuk melakukan bantahan,” katanya yang menjawab pertanyaan lisan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang) ketika sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Selain itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri kini pada peringkat akhir rundingan dengan pihak bank untuk mendapatkan pinjaman perumahan bagi pembeli-pembeli rumah kos rendah di Rimba Jaya (Shah Alam)dan Sungai Sering (Hulu Kelang).

Katanya, ia sebagai usaha Kerajaan Negeri membantu penduduk mendapatkan pinjaman perumahan.

 


Pengarang :