Selangorkini
Uncategorized

Iskandar : Keuntungan Projek Mewah Biayai Rumah Mampu Milik

datum-jelatek-pix

SHAH ALAM 2 JULAI : Keuntungan daripada projek mewah Datum Jelatek yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan disalurkan bagi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata PKNS menggunakan keuntungan yang diperoleh daripada projek seperti Datum Jelatek bagi membiayai projek seperti perumahan terbengkalai Bukit Botak.

“Secara keseluruhannya seperti di Bukit Botak, PKNS telah membelanjakan RM 70 hingga RM 80 juta untuk selesaikan masalah di kawasan itu.

“PKNS juga telah selesaikan masalah di Bangi dengan pembinaan RMM di mana subsidinya sahaja menjangkau RM 12 juta.

“Bagi dua projek di Bukit Botak dan Bangi, PKNS telah membelanjakan subsidi hingga RM 82 juta.

?Maka itu sebabnya PKNS perlu membuat rumah dengan kos yang lebih tinggi di kawasan lain,” katanya kepada media selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ditangguhkan di sini hari ini.

Iskandar menjelas kos jualan sebuah unit RMM adalah RM 99,000 sedangkan kos membinanya adalah RM 130,000.

Projek Datum Jelatek menjadi hangat apabila terdapat pihak yang mempertikaikannya dengan mendakwa Kerajaan Negeri membelakangkan kepentingan rakyat kerana projek itu dianggap mewah.

Hari ini satu memorandum diserahkan Badan Bertindak Datum Jelatek diketuai Salleh Samad kepada Kerajaan Negeri bagi membantah projek tersebut.

Mengenai perkara itu, Iskandar berkata, sewajarnya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberi ruang bagi menjelaskannya dengan lebih lanjut.

“Isu ini berkaitan PKNS. Saya rasa biarlah Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS memberikan jawapan,” katanya.

 


Pengarang :