SELANGOR

Jerebu : Kerajaan Negeri Mula Edar Topeng Muka

daroyah

KLANG 22 JULAI : Kerajaan Negeri akan mula mengedarkan topeng muka kepada orang ramai esok sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) berada di tahap tinggi.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak empat ribu topeng muka di setiap DUN.

“Jangka masa pendek ini, kita akan edarkan esok jika IPU berada di tahap tidak sihat.

“Topeng ini lebihan daripada gelombang pertama jerebu bulan lepas. Tetapi ia masih mencukupi buat masa ini. Namun ia akan ditambah berdasarkan keadaan semasa.

“Jika ia berada dalam keadaan mendesak, kita akan terus edarkan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini.

Sehingga pagi tadi, di Banting mencatatkan IPU 105 manakala Pelabuhan Klang 80.

Menurut kenyataan Meteorologi Malaysia, ia dijangka berlaku untuk tempoh yang singkat ekoran perubahan corak angin bertiup.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Bulan lalu, Malaysia mengalami jerebu yang agak teruk sehingga ada kawasan mencatatkan tahap pencemaran udara berbahaya dan sekolah terpaksa ditutup sementara.


Pengarang :