Kajian TI : Hanya 30% Percaya Usaha Kerajaan Perangi Rasuah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Muhammad Asri Sapfie

Kajian TI : Hanya 30% Percaya Usaha Kerajaan Perangi Rasuah

Tony Pua Wancara 01

 

SHAH ALAM 10 JULAI : Dakwaan kononnya pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berjaya dan cemerlang dalam usaha memerangi indeks rasuah ternyata tidak benar dengan pendedahan kaji selidik terbaru Barometer Penyelewengan Global Transparency International.


Kajian badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu mendapati hanya 30 peratus daripada responden percaya usaha-usaha kerajaan memerangi rasuah berkesan, berbanding 49 peratus pada tahun 2011.

Daripada hasil kajian yang didedahkan itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini semakin celik dan sedar bahawa di sebalik omongan indah berhubung Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), sebenarnya tidak banyak yang benar-benar berubah.

“Rakyat sedar terlalu sedikit tindakan yang dikenakan terhadap individu korup yang kaya, berkuasa dan mempunyai kepentingan politik sementara segala usaha digunakan untuk menyiasat ahli politik pembangkang dan individu yang berfikiran sivik,” tegas Tony Pua dalam satu kenyataan medianya.

Lebih mengecewakan, peruntukan tinggi yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak memberikan hasil seperti diharapkan berbanding peruntukan yang pernah dibelanjakan untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedekad lalu.

Ujar Tony Pua lagi, pada tahun 2008, sebelum Tun Abdullah Badawi menyerahkan tampuk pemerintahan pada Najib, Malaysia berada di kedudukan ke-47 dunia dengan anggaran peruntukan sebanyak RM146.7 juta.

Ironinya, pada tahun 2012, setelah pembaharuan besar-besaran dilakukan terhadap SPRM dengan bajet meningkat sebanyak RM 211 juta, Malaysia kini berada di tangga ke-56 dunia.

“Ini seolah-olah menunjukkan lebih banyak peruntukan dan sumber yang diberikan kepada SPRM, lebih korup Malaysia jadinya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendesak agar Perdana Menteri bersedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbukti bersalah melakukan penyelewengan.

Desakan Tony Pua dilihat merujuk kepada skandal National Feedlot Center (NFC) bernilai RM250 juta yang sebelum ini diberikan kepada keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Kabinet.

Kerajaan Pusat baru-baru ini membuat keputusan untuk melantik pihak ketiga bagi menguruskan projek yang sebelum ini dikaitkan dengan keluarga Shahrizat itu.

Walaupun berdepan tuduhan konflik kepentingan dan ketidaktelusan yang jelas, SPRM membuat kesimpulan bahawa tiada kesalahan yang boleh disabitkan terhadap Shahrizat.

Semalam, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa perlantikan pihak ketiga itu menunjukkan wang awam bernilai RM 163 juta yang dibelanjakan dalam projek NFC boleh dianggap hilang dan tidak akan dapat dipulihkan.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION