NASIONAL

Kerajaan Negeri Arah MPAJ Keluar Notis Pemberhentian Kerja Serta-Merta

melawat tanah runtuh

SHAH ALAM, 3 JULAI : Susulan kejadian tebing runtuh di tapak pembinaan Sierra Garden, Ukay Perdana pagi tadi, Kerajaan Negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan dengan serta merta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu juga diarah memantau keadaan tapak pembinaan itu dari semasa ke semasa.

Katanya, siasatan lanjut oleh konsultan bebas juga akan dibuat sebelum laporan lengkap berhubung insiden itu dikeluarkan oleh pihak MPAJ.

“Kejadian tersebut (tebing runtuh) bukanlah atas sebab keadaan semulajadi tetapi ia adalah kejadian semasa bekerja.

“Saya telah minta MPAJ untuk memantau tempat ini dan kalau kita rasa ia akan membahayakan keselamatan orang ramai dan pekerja, kita mesti ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Dalam satu kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi, tiga mangsa terkorban manakala seorang patah kaki dalam kejadian tebing runtuh di tapak perumahan mewah di Ukay Perdana itu.

Ketika kejadian, kesemua pekerja warga Myanmar itu sedang melaksanakan kerja pemasangan cerucuk bertujuan menstabilkan struktur tanah di cerun setinggi 2 meter itu untuk kerja pembinaan tebing konkrit.

Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


Pengarang :