SELANGOR

Kerajaan Negeri Kaji Bangunkan Hab Halal di Pulau Indah

daroyah

SEMENYIH, 7 JULAI: Kerajaan Negeri akan mengkaji untuk membangunkan hab halal di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Menurut Exco Pembangunan Usahawan, Dr Daroyah Alwi, cadangan tersebut dibuat berdasarkan kedudukan strategik Pulau Indah yang berhampiran Pelabuhan Klang akan memberi kelebihan untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa.

“Kita harap dalam masa lima tahun ini kita dapat realisasikan hab halal ini sebab saya kira ia sangat penting dan sampai masanya untuk Selangor laksanakannya.

“Hab halal ini mempunyai permintaan yang tinggi samada di dalam negara mahupun di peringkat dunia walaupun negara bukan Islam, mereka juga pentingkan produk halal,” kata beliau selepas majlis penyerahan permit dan lesen peniaga Bazar Ramadan kepada 70 peniaga berhadapan Tesco Taman Pelangi di sini.

Dalam majlis sama Dr Daroyah turut menyerahkan bantuan berupa barangan keperluan kepada 15 ibu tunggal dari kawasan terbabit.

Sebelum ini, Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi dalam persidangan Dewan Negeri Selangor berkata, sudah tiba masanya Selangor menjadi juara dalam industri halal di negara ini.

Menurut Sallehen pada masa ini sebanyak 40 peratus daripada permohonan sijil halal di Malaysia dikeluarkan di Selangor.


Pengarang :