NASIONAL SELANGOR

Kontraktor Jalan Perlu Tampal Lubang Jalan Dalam Masa 24 Jam

yunus hairi soal jawab DUN 01

SHAH ALAM 2 JUL : Syarikat konsesi penyelengaraan jalan negeri di Selangor perlu menyelesaikan kerja-kerja menampal lubang permukaan jalan yang rosak dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Kerja-kerja penyelenggaraan itu juga perlu dilaksanakan mengikut jadual dan terma-terma yang dipersetujui sewaktu syarat kontrak jangka panjang ditandatangani, jelas Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Jelasnya, selain melakukan kerja-kerja penampalan jalan, syarikat konsesi KPS-HCM Sdn Bhd juga bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri meliputi kategori jalan protokol, jalan utama, jalan sekunder dan jalan minor.

“Selepas melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, mereka perlu menghantar laporan bergambar di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor akan jalankan siasatan dan mengesahkan bahawa kerja telah dilakukan sebelum sebarang pembayaran dibuat.

“Jika terdapat sebarang ketidakpatuhan kerja sepertimana termaktub dalam syarat dipersetujui, kita serahkan kepada JKR untuk ambil tindakan seperti menahan bayaran,” kata Adun Sijangkang itu di dalam sidang Dewan Negeri Selangor pagi tadi.

Selain menampal jalan, syarikat konsesi turut melakukan kerja-kerja seperti membaiki keretakan jalan, kerja-kerja menggred semula bahu jalan dan memotong rumput di tepi-tepi jalan.


Pengarang :