NASIONAL SELANGOR

Lagi Pembangkang Selangor Dibidas Guna Fakta Salah Ketika Berdebat

Curi Pasir-Grafik

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pembangkang di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini sekali lagi dibidas gara-gara sengaja menutup fakta berkenaan kelemahan pentadbiran Umno-BN yang dahulu.

Kali ini mengenai isu perlombongan pasir yang dikatakan mencemarkan alam sekitar.

Adun BN dari Dengkil, Shahrum Mohd Sharif  berterusan menuduh kegiatan perlombongan pasir di era pentadbiran Pakatan Rakyat yang beliau dakwa tidak terkawal.

Ini mendapat perhatian Adun Pakatan dari Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang menempelak Shahrum dengan berkata kegiatan melombong secara tidak terkawal sudah berlaku dengan berleluasa di era pentadbiran BN sebelum 2008.

Shuhaimi juga berkata isu ini sudah pun beberapa kali dijelaskan dengan bukti baik di dalam dewan ini sendiri mahupun menerusi media.

“Lombong yang besar ini ditinggalkan oleh BN, kita cuma nak betulkan. Tak payah tunggu Menteri Besar jawab, saya boleh jawabkan.

“Pasir kita korek jauh lebih kecil berbanding BN, tetapi hasilkan pendapatan yang jauh lebih besar dari BN, ” kata Shuhaimi ketika mencelah ucapan Shahrum di dalam sidang DNS semalam.

Pakatan juga, selepas mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri, terpaksa membendung kegiatan yang memusnahkan alam sekitar ini dengan usaha bersungguh-sungguh Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) dan pihak berkuasa lain.

Perkara ini akhirnya turut diakui oleh Shahrum apabila beliau menyedari bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjaya mengumpul hasil jutaan ringgit dari saman yang dikenakan terhadap pelombong haram.

Shuhaimi juga berkata hasil perlombongan pasir di Selangor hanya merupakan lima peratus dari pendaptan negeri dan bukanlah sumber utama pendapatan seperti yang didakwa Umno-BN.

Shahrum yang gagal menepis fakta yang dikemukakan Shuhaimi selepas itu mula berdalih dengan memberikan alasan sekadar untuk memberi pengetahuan kepada Adun-adun baru yang baru pertama kali menyertai persidangan.

Kelmarin, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias dibidas kerana mengatakan Perlembagaan Negara dan undang-undang menghalang rakyat negara daripada melakukan protes terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Shamsudin didapati terkedu apabila beliau diminta oleh Adun Pakatan untuk menyatakan undang-undang mana yang menghalang rakyat untuk melakukan protes.


Pengarang :