NASIONAL

Majlis Peringatan Teoh Beng Hock 24 Julai

 teoh beng hock mak kakak

SHAH ALAM 2 JUL : Sempena ulang tahun keempat kematian Teoh Beck Hock, parti DAP mempelawa orang ramai untuk menyertai Majlis Memperingati Mendiang yang akan diadakan pada 14 Julai ini.

Anggota Exco Negeri, Ean Yong Hian Wah yang juga Adun Seri Kembangan, majlis tersebut akan diadakan di Nirvana Memorial Park, Semenyih pada jam 8.30 pagi.

“Ini juga sebagai satu mesej bahawa sehingga hari ini keluarga mendiang dan rakyat Malaysia masih menunggu-nunggu penjelasan penuh pihak SPRM ( Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Kerajaan BN (Barisan Nasional) berhubung kematian seorang saksi di bawah pengawasan ketat.

“Kami juga percaya kematian mendiang bukanlah kerana membunuh diri dan terdapat pihak-pihak yang menyembunyikan kebenaran daripada rakyat,” jelas Ean Yong dalam satu sidang media.

Sidang media yang diadakan di lobi Annex bangunan Annex pagi tadi turut dihadiri Adun Bukit Gasing, R.Rajiv dan Adun Teratai, Tiew Way Keng.

Dalam pada itu, DAP turut menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan siasatan semula kes kematian Beng Hock supaya mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Bukan saja keadilan untuk Beng Hock tidak dapat ditegakkan.  Lebih membimbangkan, terdapat juga kes-kes kematian dalam lokap yang masih tidak dapat dihentikan pihak berkuasa berkaitan.

“Dengan itu kami juga menggesa agar Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan agar kejadian sama tidak berulang,” tegas Ean Yong lagi.

Beng Hock merupakan seorang bekas pembantu Ean Yong yang ditemui mati di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam di sini pada bulan Julai 2009.

Pada malam sebelum beliau ditemui mati, Beng Hock hadir sebagai saksi di dalam satu kes siasatan SPRM di pejabat agensi itu yang terletak di tingkat atas bangunan tersebut.

Siasatan kerajaan persekutuan dalam kematian Beng Hock mendapati tiada unsur jenayah di dalam kematian itu. Siasatan itu juga mendapati Beng Hock tidak membunuh diri.

Sementara itu, antara tahanan polis yang mati pada tahun ini ialah Karuna Nithi di balai polis Tampin, Melaka pada 2 Jun, James Ramesh (Pulau Pinang, 26 Mei) dan N. Dharmendran (Kuala Lumpur, 21 Mei).


Pengarang :