SELANGOR

MB : Sedia Bajet Polis Bantuan, Hanya Tunggu Kelulusan PDRM

mb

SHAH ALAM 31 JULAI : Kerajaan Negeri sedia menyediakan peruntukan bagi tujuan latihan dan penempatan polis bantuan di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Bagaimanapun, permohonan berkenaan masih menunggu kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakannya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri bercadang menyediakan sekurang-kurangnya 30 orang penguatkuasa PBT untuk dilatih sebagai polis bantuan.

Menurut Abdul Khalid, peruntukkan yang dicadangkan adalah sebanyak RM3,000 bagi setiap seorang untuk menjalani latihan yang akan dikendalikan PDRM.

“Kerajaan Negeri memandang berat peningkatan kes jenayah melibatkan senjata api yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

“Walaupun tanggungjawab menjaga keselamatan awam adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat, namun Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk menyumbang sebanyak yang boleh bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di sini hari ini

Baru-baru ini, PDRM hanya meluluskan permohonan membenarkan 20 orang penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai polis bantuan.

“Tetapi kebenaran ini tidak memberi sebarang makna kerana kuasa polis bantuan ini sangat terhad kepada satu tugas sahaja iaitu mengawal bangunan MBPJ,” ujar Abdul Khalid.

Justeru, Kerajaan Negeri akan memohon sekali lagi kepada PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai usaha mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa membanteras jenayah termasuk kes melibatkan senjata api.


Pengarang :