SELANGOR

MBPJ Sumbang Wang Tunai, Beg Sekolah Kepada Anak Yatim

MBPJ alinah nik nazmi sumbangan anak yatim 02

PETALING JAYA, 20 JULAI: Prihatin dengan golongan kurang bernasib baik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menyumbangkan wang tunai dan peralatan sekolah kepada golongan kurang bernasib di kawasan sekitar Petaling Jaya.

Sumbangan berupa wang tunai RM 100 dan beg sekolah itu diserahkan kepada 150 anak yatim dari rumah-rumah anak yatim dari seksyen 3, 4, PJS 6, 8, 10 dan anak-anak kakitangan MBPJ sendiri.

Sumbangan tersebut disampaikan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Anak-anak Yatim MBPJ 2013 di Masjid Al-Islamiah, PJS 6, Kampung Lindungan di sini petang semalam.

Selain memberikan sumbangan, MBPJ turut mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim terlibat dan penduduk setempat serta ceramah agama.

MBPJ alinah nik nazmi sumbangan anak yatim 01Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sikap prihatin itu membuktikan MBPJ tidak sahaja berperanan mengutip cukai dan menjalankan tanggungjawab kepada pembayar cukai, malah turut menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di Petaling Jaya.

“Inisiatif yang dijalankan MBPJ ini adalah sesuatu yang baik, sebab di kawasan Petaling Jaya Selatan ini berbeza sedikit dengan Petaling Jaya Utara di mana sini lebih banyak mempunyai masalah sosial dan sosio ekonomi.

“Program-program seperti ini sangat membantu dan kita harap pihak lain samada swasta atau kerajaan dapat mencontohi MBPJ dengan mengadakan program serupa di kawasan ini,” kata Nik Nazmi ketika ditemui dalam majlis tersebut.

Selain itu menurut Nik Nazmi lagi, program seumpama ini juga mampu mengeratkan hubungan antara pihak PBT terbabit dan masyarakat di sini.

Program anjuran Badan Islam MBPJ dan MBPJ sendiri ini turut mendapat kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Islamiah dan penduduk setempat.


Pengarang :