NASIONAL

MDKL Rai Media, Anak Yatim dan Asnaf Dalam Majlis Buka Puasa

MDKL anak yatim budak 29 jul 02

BANTING, 29 JULAI: Tidak lupa dengan golongan kurang bernasib baik, 65 anak yatim dan asnaf dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin Kanchong Darat semalam diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Dan Mesra Bersama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Majlis yang dihadiri kira-kira hampir 150 penduduk setempat, pihak media, warga kerja MDKL dan pelajar Tahfiz dari sekolah agama berhampiran itu diadakan di perkarangan Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin Kanchong Darat semalam.

Menurut Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali, selain meraikan pihak media yang banyak membantu MDKL memberi perkhidmatannya kepada masyarakat Kuala Langat, MDKL turut membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

“Pihak media kita panggil bersama semua anak yatim di sini supaya kita dapat bersama-sama berkongsi serba sedikit memberikan sumbangan dan ini satu usaha dari pihak MDKL supaya meringankan beban dalam hari raya yang semakin hampir ini.

“Juga ada beberapa syarikat seperti pemaju, kilang dan sebagainya yang sudi memberikan sumbangan untuk tabung rumah anak yatim,” kata Mohd Azhar kepada TV Selangor.

Antara syarikat yang memberikan sumbangan malam tadi, Emery Oleochemical (M) Sdn Bhd yang menyerahkan sumbangan sebanyak
RM 5,000.

Sementara itu, Pengurus Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Molyana Mahmud melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih beliau kepada MDKL, syarikat yang memberikan sumbangan dan pihak media.

“Disebabkan peranan medialah, orang ramai dan syarikat mengetahui kewujudan kami di sini sekaligus membolehkan kami menerima sumbangan orang ramai.

“Terima kasih kepada syarikat yang sudi memberikan sumbangan dan MDKL yang mengadakan majlis dengan juadah yang enak untuk dinikmati anak-anak di Rumah Anak Yatim dan Asnaf Solihin malam ini.

“Kalau tidak biasanya mereka makan nasi dengan satu jenis lauk sahaja, tetapi hari ini kita dapat tengok mereka cukup gembira dapat makanan yang enak-enak,” kata beliau lagi.

MDKL sumbang anak yatim 29 jul 01


Pengarang :