NASIONAL

Menteri Terus Berdalih Enggan Dedah Syarikat Dakwat SPR

rafizi 01

KUALA LUMPUR, 17 JULAI : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat terus berdolak-dalih untuk mengumumkan syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu meskipun berulang kali diasak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

Sebaliknya, Shahidan hanya mengumumkan nama syarikat yang mendapat kontrak pembekalan peralatan lain seperti topi iaitu Nash Ventures Sdn Bhd semasa berucap dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ketika ditemui mengesahkan, maklumat syarikat yang diumumkan Shahidan itu sama seperti yang diterimanya daripada sumber dalaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Walaupun syarikat ini tidak dimiliki secara rasmi oleh ahli perniagaan dari Singapura, Mohamed Salleh Mohamed Ali tetapi ia menggunakan alamat pendaftaran yang sama dengan syarikat lain di mana isteri Salleh adalah Pengarahnya.

“Itu maksud saya bahawa ada tiga syarikat yang memasuki rundingan terus dengan pihak SPR dengan ketiga-tiganya mendapat kontrak dakwat kekal, t-shirt dan topi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau turut berpendapat pihak SPR mahupun Kerajaan Pusat tidak akan mendedahkan mana-mana syarikat lain dalam masa terdekat bagi mengesahkan dakwaan itu.

Kata Rafizi, Menteri menggunakan alasan sama untuk tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan kononnya atas tujuan keselamatan.

“Sekarang ini terpulang kepada SPR bagaimana untuk menyelamatkan kredibiliti mereka kerana orang sudah tahu.

“Saya tidak nampak kenapa mereka mesti melindungi perkara ini, lebih baik terus terang dan terangkan kepada rakyat kenapa syarikat itu dipilih,” ujarnya.

Rafizi semalam mendedahkan nama seorang individu yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin tertinggi SPR untuk membekalkan dakwat kekal semasa pilihan raya yang lalu.

Ia bagaimanapun dinafikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam satu kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada TV Selangor hari ini.


Pengarang :