NASIONAL

Pakatan Mahu Sertai Jawatankuasa Pantau KLIA2

KLIA 2 grafik

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mahu terlibat di dalam jawatankuasa bagi memantau perkembangan projek KLIA2 yang lewat siap dan kosnya yang telah bertambah sebanyak RM 2 bilion.

MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan juga meminta satu audit bebas diadakan oleh pihak kementerian untuk mengenal pasti sebab kelewatan.

“Demi manfaat rakyat dan memandangkan perbelanjaan asal KLIA 2 yang naik dari RM 1.9 bilion hingga RM 4 bilion sehingga hari ini, kami minta diberi laluan untuk menyertai jawatankuasa itu,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Beliau mendakwa laporan penganalisis kewangan menunjukkan kelewatan dalam menyiapkan KLIA2 akan mengakibatkan perbelanjaan tambahan RM 500 juta.

Dalam masa yang sama, beliau turut membidas konsultan KLIA Consultancy Services Sdn Bhd, syarikat milikan kementerian kewangan, yang tidak tegas dalam memantau dan mengekang sebarang perubahan skop kerja di KLIA2 (variation order).

Perubahan itu termasuklah pemanjangan Landasan Kapal Terbang 3, perubahan aras tanah (earthworks) dan peningkatan am infrastruktur awam.

Nurul Izzah berkata tuntutan sebegini merupakan tambahan kepada permintaan kontraktor UBPJV yang meminta RM 300 juta daripada
Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk pembesaran tingkat bawah terminal utama dan bangunan satelit.

Pembesaran itu bagi memenuhi permintaan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuklah syarikat penerbangan Malindo Air.

MAHB adalah syarikat yang menguruskan KLIA dan bakal mengurus KLIA2.

?MAHB juga satu ketika dahulu berkeras bahawa KLIA2 akan siap menjelang Jun 28, 2013.

?Kini, selepas ditekan dan didesak oleh pihak kami, barulah diakui kelewatan pelaksanaan projek dengan tarikh baru yang diberi ialah April 30, 2014,? kata Nurul Izzah.


Pengarang :