NASIONAL SELANGOR

Pemberian Kupon Jom Shopping Perayaan Akan Diperluaskan

program jom shoping 01

KLANG 27 JULAI : Pemberian Kupon Membeli Belah bagi Program Jom Shopping sempena perayaan akan diperkembangkan untuk juga semasa perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, untuk program Jom Shopping untuk Perayaan Aidilfitri, setiap DUN diperuntukkan kira-kira 500 kupon membeli belah itu yang akan diberikan kepada keluarga berpendapatan bawah RM1,500.

Beliau berkata demikian semasa Program Jom Shopping yang diadakan di Pasaraya Econsave di sini.

Dalam program itu, seramai 300 keluarga yang berpendapatan bawah RM1,500 terpilih untuk menerima kupon Jom Shopping itu yang bernilai RM100.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan seramai 28,000 rakyat Selangor yang kurang kemampuan bakal menerima kupon beli belah bernilai RM 100 di bawah Program Jom Shopping sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi program itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi menjayakan usaha tersebut.

Sementara itu, dalam sidang medianya Abdul Khalid menjelaskan beberapa projek untuk memperbaiki aliran trafik di kawasan daerah Klang.

“Untuk jangka panjang kita akan mempertingkatkan aliran trafik yang lebih baik melalui pembinaan jambatan ketiga Klang agar tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Kita juga akan meminta agar dipercepatkan pembinaan jalan yang menuju ke Pulau Indah yang akan siap tidak lama lagi dan juga pembinaan jalan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Klang Barat,” kata Abdul Khalid.

Ujar beliau, beberapa cadangan telah dibuat oleh pihak konsultan yang masih dalam perbincangan agar pihak berkuasa tempatan untuk memperbaiki pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.

Ia meliputi kemudahan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan bas yang lebih berkesan untuk menangani masalah kesesakan jalan raya.

“Bagi mengatasi masalah banjir kita telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaran parit dan longkang agar semasa hujan lebat maka banjir dapat dielakkan,” kata beliau.


Pengarang :