NASIONAL SELANGOR

Pendapatan Peserta Program Keusahawanan Selangor Naik Sehingga 40 Peratus

pusat wanita berdaya masakan 01

SHAH ALAM 5 JULAI : Usahawan belia dan wanita muda yang menyertai program bimbingan perniagaan Kerajaan Negeri melaporkan bahawa pendapatan mereka meningkat sebanyak 30 hingga 40 peratus apabila mereka mempraktikan latihan tersebut.

Exco Pembangunan Usahawan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata bagaimanapun peserta tidak mengemukakan rekod peningkatan itu kerana perusahaan mereka ialah industri kampung dan mereka tidak mempunyai penyata aliran tunai dan penyata bank.

Daroyah juga berkata bengkel dan program usahawan mencatatkan permintaan yang menggalakkan apabila jumlah peserta meningkat ke 7,706 pada tahun 2013, daripada 220 pada 2008.

Antara program yang disediakan ialah kursus pensijilan, pembungkusan, kursus asas keusahawan dan rancangan perniagaan.

Program yang tidak melibatkan latihan pula merangkumi Dana Industri Kampung, Promosi Produk Usahawan dan lawatan ke premis perusahaan yang dijalankan sekali setahun.

Beliau berkata demikian ketika yang menjawab pertanyaan Adun Permatang Sulaiman Abdul Razak (BN) di dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Daroyah memaklumkan Selangor kini menjadi juara dalam pensijilan halal berikutan ketika ini, 40 peratus daripada permohonan sijil halal di Malaysia datangnya dari Selangor.


Pengarang :