SELANGOR

Penduduk Desa Mentari Lega Kerajaan Negeri Baiki Lif Rosak

desa mentari petaling jaya

SHAH ALAM, 26 JULAI: Penduduk Desa Mentari mampu menarik nafas lega apabila Kerajaan Selangor, mengambil keputusan untuk membaiki sekurang-kurangnya satu lif di setiap bangunan 11 tingkat pangsapuri itu.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad bekata kerosakan lif di pangsapuri terbabit menyebabkan tiada jaminan keselamatan dan kesukaran kepada penduduk di situ terutama ketika umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Blok 6 langsung tidak mempunyai lif yang beroperasi sejak sebulan yang lepas.

?Lif di blok 4, 5 dan 8 pula disita pada 19 Julai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) selepas mereka memantau keadaan lif sejak beberapa bulan lalu dan mendapatinya tidak selamat.

“Maka ketiga-tiga blok tersebut pula langsung tidak mempunyai lif dan ini mendatangkan kesusahan kepada penduduk, apatah lagi di bulan puasa memandangkan kesemua blok-blok ini merupakan blok-blok yang tinggi sehingga mencapai 11 tingkat.

“Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada YB Iskandar Abdul Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor yang telah membuat keputusan untuk membantu¬† menyelesaikan masalah ini,” kata Nik Nazmi.

Keputusan membaiki lif di pangsapuri tersebut diumumkan Iskandar pada Julai 24 lalu.

Nik Nazmi juga menyeru agar penduduk di situ dapat membayar kutipan yuran penyelenggaraan bagi membiayai penyelengaraan bangunan termasuk membaiki kerosakan lif.

“Menurut pihak pengurusan, masalah terbesar yang mereka hadapi ialah kadar kutipan yang masih rendah sehingga akaun berada di dalam keadaan defisit,” ujarnya lagi.


Pengarang :