Pengundian PRK Kuala Besut Terkawal | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Muhammad Asri Sapfie

Pengundian PRK Kuala Besut Terkawal

N1-kuala-Besut

SHAH ALAM 24 JULAI : Proses pengundian Pilihan Raya Kecil Kuala Besut hari ini berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

Sehingga jam 11 pagi tadi , seramai 7,356 orang (44.49 peratus) sudah keluar mengundi.


Selepas tamat tempoh 12 hari berkempen, hari ini merupakan hari penentuan samada kedudukan kerusi 16:16 dapat direalisasikan Pakatan Rakyat melalui PRK Kuala Besut, Terengganu.

PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAS, Azlan Yusof dengan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Seawal 8 pagi tadi, sebanyak lapan pusat mengundi di sekitar Kuala Besut mula dibuka bagi membolehkan 17, 683 pengundi mendaftar membuat pilihan.

Pusat undian yang dibuka termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut, SK Alor Peroi, SK Kampung Nangka, SK Pulau Perhentian, SK Kampung Nail, SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri.

Kesemua pusat undian akan dibuka sehingga jam 5 petang kecuali SK Pulau Perhentian yang akan ditutup pada jam 3 petang hari ini.

Undi awal pula diadakan pada 20 Julai lalu di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak.

Menurut laporan Malaysiakini, calon PAS, Azlan atau lebih dikenali sebagai Che Long hadir membuang undi di SK Kampung Baharu seawal jam 8 pagi tadi dengan ditemani isterinya.

Sementara itu, lawannya daripada BN, Tengku Zaihan pula mengundi di SMK Kuala Besut pada jam 8.15 pagi, juga ditemani isteri beliau.

Jika PAS menang, maka BN dan PR masing-masing akan mempunyai bilangan kerusi yang sama banyak dalam DUN, namun jika sebaliknya, status quo akan kekal.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata jumlah keluar mengundi setakat jam 10 pagi cukup tinggi.

Setakat jam 11 pagi, seramai 7,356 orang (44.49 peratus) sudah keluar mengundi dan jika dicampur undi awal, jumlah keseluruhannya adalah 8,268 (46.76 peratus).

Pada 5 Mei lalu, peratusan keluar mengundi bagi DUN Kuala Besut ialah 86.7 peratus.

Keputusan rasmi PRK Kuala Besut hari ini hanya akan diumumkan selepas pukul 10 malam nanti bagi memberi peluang kepada pemimpin serta penyokong parti-parti bertanding menunaikan solat Tarawih.

PRK kali ini diadakan berikutan kematian Adun Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar (BN) pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) Mei lepas, BN mendahuli dengan 17 kerusi sementara PR memenangi 15 kerusi; PAS (14) dan PKR (1).

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION