Persempadanan Semula: Apa Lagi Helah SPR? | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Cecelia Alphonsus

Persempadanan Semula: Apa Lagi Helah SPR?

undi SPR sek agama telok gong stok 01

KOMENTAR Persempadanan semula kawasan pilihanraya di Malaysia dilakukan pada 1958, 1966, 1974, 1983, 1992 dan 2003.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan dibawah perkara 113, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) diberi amanah untuk melakukan kajian semula persempadanan kawasan pilihanraya setiap 10 tahun.


Persempadanan semula tersebut dilakukan berlandaskan kepada keadaan geografi dan topografi sesuatu kawasan, tahap pembangunan, demografi, kemudahan asas dan komunikasi.

Ia juga atas kemampuan Kerajaan (Negeri dan Persekutuan) untuk menampung kos yang terlibat dengan penambahan kerusi Parlimen dan DUN.

Tujuan persempadanan semula dilakukan bagi memastikan tidak berlaku ketidak seimbangan sesuatu kawasan berpenduduk yang menyulitkan pentadbiran disebabkan berlakunya pertambahan penduduk.

Keadaan ini lebih ketara berlaku di kawasan bandar akibat peningkatan proses pembangunan yang menjurus kepada migrasi penduduk secara SPR garis kuning 01aktif.

Maka asas utama persempadanan semula ini samaada Parlimen atau Dun perlu berpaksi kepada rasionaliti jumlah pemilih, keluasan sempadan kawasan dan aksessibiliti yang dapat memudahkan wakil rakyat untuk berhubung dan berkhidmat kepada pengundi.

Berdasarkan tahun akhir persempadanan semula pada 2003 maka SPR tidak ada pilihan selain melakukannya pada tahun ini. Walaupun ura-uranya mahu dilakukan pada 2011 lalu. SPR memberikan alasannya untuk dilakukan selepas PRU 13 kerana tidak mahu mengganggu perjalanan PRU tersebut.

Apapun alasannya SPR yang berada dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh dan masa untuk mengkaji semula dan menyiapkan persempadanan kawasan pilihanraya yang baru.

‘Gerrymandering’ Selamatkan Najib

Pada PRU 10 pada 1999, Ahli Parlimen Pekan yang kini menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 241 undi.

Akibat persempadanan semula pada 2003, SPR telah memasukkan beberapa kem tentera yang sebelum ini berada dikawasan parlimen Kuantan ke dalam kawasan pilihanraya parlimen Pekan.

Sejak itu Najib yang ketika itu menjadi Menteri Pertahanan berada dalam kemenangan selesa dalam setiap kali PRU walaupun Parlimen Kuantan akhirnya tergadai kepada Pakatan Rakyat sejak PRU 2008 hingga kini.

gerrymanderCara inilah juga merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh SPR bagi memastikan kemenangan besar Umno-BN dalam PRU selepas melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Walaupun kaedah ini terpaksa menggadai kawasan lain kepada pihak lawan.

Dalam pengajian Sains Sosial dan Sains politik, kaedah yang digunakan oleh SPR untuk meneruskan kemenangan Najib itu disebut sebagai kaedah “Gerrymandering’

Gerrymandering ialah satu tindakan memanipulasi pihak yang mempunyai kuasa politik dalam sesuatu negara/negeri dalam penyusunan dan pengaturan semula kawasan-kawasan pentadbirannya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan datang.

Tindakan ini adalah bertujuan mengurangkan undi parti pembangkang dan membolehkan parti pemerintah memperoleh lebih banyak undi dari keputusan sebelumnya.

Kaedah Gerrymandering ini diasaskan oleh Gabenor Massachusetts di Amerika Syarikat dari parti Republikan, Elbridge Gerry ketika beliau menguasai wilayah tersebut pada 1812.

Gerry telah meluluskan satu dasar undang-undang berkaitan dengan persempadanan kawasan pilihan raya di wilayahnya yang memberi kelebihan kepada partinya.

Tindakan beliau ini juga dikenali sebagai Salamender
kerana perubahan yang beliau lakukan di wilayah itu telah menyebabkan peta kawasan tergambar seolah-olah bentuk seekor binatang “Salamender” yang berlekok-lekok.

Tiga Taktik Leburkan Pakatan

Terdapat tiga kaedah untuk memanipulasi persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Pertamanya konsep ‘Excess Vote’, dimana Pakatan akan dihadkan menguasai sesuatu kawasan tertentu dengan kelebihan majoriti yang tinggi. Manakala dikawasan sekitarnya undi pembangkang akan ‘di tenggelamkan’ dalam undi majoriti parti pemerintah.

Contohnya, Kelantan ialah kawasan yang kuat menyokong pihak PAS oleh itu Kerajaan Pusat akan cuba menumpukan perhatian kepada negeri Pahang dan Terengganu dalam pilihan raya bagi memastikan kedua-dua negeri ini tidak akan ditawan oleh PAS.

Ini bermakna parti kerajaan mengehadkan kuasa pihak pembangkang keatas negeri Kelantan sahaja.

Keduanya kaedah ‘Wasted Vote’ iaitu usaha mengurangkan undi pembangkang secara memasukkan kawasan yang dijangka dimenangi BN kedalam kawasan yang dikuasai PR.

Contohnya kawasan A sebuah kawasan ramai penduduk yang menyokong PR manakala kawasan B pula lebih kepada BN.pemimpin tinggi PR konvesyen 01

Bagi memastikan BN dapat memenangi kawasan A, penstrukturan dibuat dengan memasukan satu atau lebih bahagian dari kawasan B ke dalam kawasan A dan mengeluarkan satu bahagian atau lebih kawasan A kepada kawasan C.

Tindakan ini akan membolehkan BN memenangi pilihan raya akan datang dengan nisbah 1:2.

Ketiga ialah melalui kaedah wang ?stacked?. Melalui kaedah ini kawasan yang jauh dari bandar akan dijadikan kubu untuk parti pemerintah mengekalkan kuasanya.

Konsep ini boleh dikatakan seperti konsep ‘hutang budi’ dimana pemerintah akan menggunakan kaedah wang dan sogokan bagi membangunkan dan memperbaiki kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Adat dan budaya masyarakat luar bandar di manipulasi untuk meletakkan orang kampung dalam situasi hutang budi dan perlu mengenang budi kepada pemerintah.

Pemerintah juga akan bertindak mengugut golongan luar bandar ini dengan tanggapan bahawa menyokong parti pembangkang mereka akan menghadapi masalah kerana rata-rata penduduk luar bandar terdiri dari penduduk miskin.

Persempadanan SPR Akhirnya Menikam BN

Sebelum berlaku tsunami politik pada 2008, BN menggunakan pengaruh etnik sebagai aset kemenangan dalam setiap PRU maupun pilihanraya kecil.

Pengundi Cina dan India sering dijadikan sandaran oleh BN untuk memastikan kemenangan selesa.

Namun gelombang kebangkitan rakyat selepas 2008 dimana hampir 90 peratus ethik Cina dan lebih 54 peratus pengundi India menyokong PR meletakkan BN dan SPR dalam keadaan serba salah untuk meletakkan batu sempadan baru.

Manakala kemenangan undi popular 51 peratus terhadap PR dan hanya 47 peratus kepada BN dalam PRU13 lalu menjadi penanda aras bahawa kesan persempadanan semula yang di buat SPR selama ini sedang memakan diri sendiri.

Berdasarkan kaedah Gerrymandering, tindakan pemerintah memanipulasi kawasan pilihanraya baru secara tidak sihat ini akan menyebabkan masalah dalaman jangka panjang yang akhirnya memberi kesan kepada pihak pemerintah.

Ini disebabkan keputusan yang diperoleh bukan berfakta dari keputusan sebenar tetapi kesan manipulasi persempadanan yang tidak adil.

Dilema SPR

Inilah juga realiti yang sedang dihadapi SPR dan Najib dalam memastikan kemenangan besar dalam PRU14 selepas persempadanan semula sebagaimana berlaku sebelum ini

SPR boleh mencongak persempadanan semula kawasan pilihanraya bersandarkan kepada pemerhatian kemenangan dalam saluran-saluran tertentu yang dimenangi BN semasa PRU 13 lalu.

Kaedah ‘wasted vote’ yang digunakan sebelum ini telah menyumbang kemenangan kepada BN walaupun gagal memperoleh dua pertiga di parlimen.

Salah satu perbezaaan besar persempadanan semula kali ini adalah faktor etnik yang tidak lagi boleh di jadikan sandaran oleh SPR untuk menjamin kemenangan BN.

Isu besar dari persempadanan semula buat kali ke tujuh pada 2013 ini adalah berlakunya ketidak seimbangan jumlah pengundi dalam kawasan yang disempadankan.

SPR tipu suara rakyat 505 pj 01Sedangkan tujuan persempadanan semula sepatutnya bagi mengelak dari berlakunya ketidakseimbangan saiz kawasan dan jumlah pengundi.

Contohnya, P125 Putrajaya mempunyai jumlah pengundi 15,791 manakala P109 Kapar mempunyai 144,369 pengundi berdaftar. Kapar mempunyai jumlah pengundi sepuluh kali ganda dari Putrajaya sedangkan dua kawasan tersebut masing-masing diwakili seorang wakil rakyat.

Perkara kedua yang menjadi dilema SPR juga berhubung berapakah jumlah penambahan kerusi Dun dan Parlimen di seluruh negara. Apakah 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun yang dipertandingkan pada PRU13 lalu akan dikekalkan?

Apakah juga kalau ada penambahan kerusi-kerusi tersebut akan memihak kepada Umno-BN atau akan memberi lebih kemenangan kepada PR.

Sama ada secara sembunyi atau secara terang lagi bersuluh SPR merupakan junta yang mana BN bertaut untuk memastikan penerusan kuasa.

Persempadanan semula kawasan Pilihanraya tidak ubah seperti rencah, percaturan dan mekanisma SPR untuk memastikan kemenangan BN.

Inilah kesannya apabila agensi tersebut hilang kredibiliti dan keyakinan orang ramai terhadap badan yang sengaja dibentuk untuk kepentingan Umno-BN.

Beranikah kerajaan pimpinan Najib untuk meletakkan SPR dibawah kuasa parlimen sebagaimana di perjuangkan rakyat sekian lama.

Jawapannya, kita hanya mampu tunggu dan lihat buat ketika ini.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION