NASIONAL SELANGOR

Pertimbang Sedia Tempat Tinggal Kepada Mangsa Keganasan Rumah Tangga

Rodziah OSCC 03

KLANG 17 JULAI : Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada mangsa keganasan rumah tangga selepas dirujuk kepada Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC).

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata pihaknya mahu LPHS menyediakan sebahagian rumah kosong dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) dijadikan rumah perlindungan kepada mangsa.

Katanya, hal itu kerana terdapat kes yang dirujuk ke mahkamah mengambil masa yang lama, jadi mangsa hilang tempat untuk berlindung.

“Saya sedang berbincang dengan LPHS berhubung hal ini kerana pihak yang terlibat kadangkala lambat menangani aduan mangsa, jadi selepas keluar dari OSCC mereka hilang tempat perlindungan.

“Mangsa terpaksa tinggal di wad hospital sebagai pesakit, ada juga dengan membawa anak-anaknya mangsa sekali. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian serius di peringkat Kerajaan Pusat dan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat pusat itu bagi daerah Klang, di Pejabat Daerah/Tanah Klang, di sini.

Beliau menambah mangsa boleh tinggal di rumah perlindungan itu nanti selama tiga hingga enam bulan yang mana pihak Kerajaan Negeri akan membantu mereka menjana pendapatan sendiri.

“Mereka boleh dibantu oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari segi keperluan mereka tetapi dalam masa yang sama kita akan gabungkan dengan program wanita yang disediakan Kerajaan Negeri supaya mangsa dapat mencari pendapatan sendiri.

“Kita memerlukan tempat perlindungan ini jika boleh di setiap daerah. Jadi saya juga berharap semua pihak tampil ke depan untuk membantu menyediakan tempat perlindungan ini, jangan risau di peringkat Kerajaan Negeri sedia membantu,” katanya.


Pengarang :