NASIONAL SELANGOR

Rafizi: Tiga Syarikat Milik Individu Sama Bekal Topi Kepada SPR

rafizi pc white stripes 02

PETALING JAYA, 23 JULAI: Rafizi Ramli mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuba menyembunyikan sesuatu berkenaan penganugerahan kepada tiga syarikat bagi membekalkan topi kepada suruhanjaya itu.

Rafizi yang juga Pengarah Startegi PKR mendakwa Mohamed Salleh Mohd Ali dipercayai meletakkan proksinya yang dipercayai isteri beliau sendiri dan kakitangan kepercayaan beliau di ketiga-tiga buah syarikat terbabit.

“Kalau SPR nak beri tiga kontrak kepada syarikat sama, mengapa tidak lakukan secara terang, sebaliknya cuma menyembunyikannya di sebalik nama tiga buah syarikat tetapi milik orang yang sama

“Keputusan SPR menganugerahkan kepada tiga syarikat berlainan, milik orang yang sama, memberi gambaran bahawa anugerah kontrak rundingan terus ini cuba disembunyikan dari pengetahuan orang ramai,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.

Syarikat-syarikat tersebut Nash Venture Sdn Bhd (no syarikat: 623462-x) seperti disebut Menteri Jabatan Perdana Menteri di parlimen, Datuk Seri Shahidan Kassim pada 17 Julai lalu yang pengarahnya Shamsia Binti Omar.

Shamsia mempunyai pertalian kekeluargaan dipercayai isteri kepada Mohamed Salleh apabila alamat di kad pengenalan masing-masing dikesan alamat yang sama dan mereka juga mempunyai minat dan kepentingan yang sama.

“Mereka (Shamsia dan Mohamed Salleh) merupakan pemegang kad pengenalan berkod 66 yang menunjukkan mereka adalah penduduk tetap negara ini,” kata Rafizi.

Manakala Norsiah Binti Yusoff pula merupakan pemegang saham dalam dua syarikat lain yang turut dianugerahkan kontrak membekalkan topi kepada SPR, Ayumi Resources Sdn Bhd dan Bumi Services (atau nama lain Bumi Textiles Sdn Bhd seperti disebut Menteri di Parlimen).

Siasatan Rafizi juga mendapati Norsiah sebenarnya merupakan seorang ketua kakitangan di kebanyakkan syarikat yang dimiliki Mohamed Salleh.

Rafizi turut mendakwa pemberian kontrak secara rundingan terus kepada tiga syarikat terbabit tidak menepati Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus seperti mana pekeliling yang dikeluarkan Perbendaharaan Negara.

Dalam garis panduan tersebut, menetapkan lima kriteria bagi membolehkan kontrak rundingan terus dilaksanakan iaitu keperluan mendesak, bagi maksud penyeragaman, satu punca bekalan/perkhidmatan, melibatkan keselamatan/isu startegik dan kontrak dengan syarikat bumiputra.

“Tiada satupun garis panduan yang dikeluarkan Perbendaharaan itu menepati rundingan terus pembekalan topi ini contohnya bagi maksud penyeragaman, ia boleh diseragamkan melalui pelbagai pembekal melalui spesifikasi yang diberikan SPR, ia tidak melibatkan paten atau francais dan ia bukanlah barang-barang keselamatan startegik,” ujar Rafizi lagi.

Rafizi juga memberitahu nilai keseluruhan kontrak rundingan terus yang diterima Mohamed Salleh dianggarkan bernilai RM6 juta.

“Semasa di parlimen, nilai kontrak tidak dijawab oleh YB Menteri tapi boleh dianggarkan kira-kira RM6 juta sekiranya kos untuk satu topi adalah RM20 darab dengan 300,000 topi,” katanya lagi.


Pengarang :