Selangorkini
Uncategorized

Rodziah : OSCC Bantu Mangsa Rumah Tangga Di Luar Bandar

rodziah 01

KLANG 16 JULAI : Program kesedaran berhubung peranan Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC) akan diperluaskan ke semua peringkat khususnya di luar bandar di Selangor.

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata langkah itu diambil bagi memastikan masyarakat luar bandar mengetahui wujudnya pusat dan akta yang melindungi mangsa keganasan rumah tangga.

Selain itu, ia juga sebagai usaha memantapkan peranannya sebagai pusat khidmat sehenti yang berobjektif memastikan masalah terhadap mangsa dapat dikurangkan.

rodziah 02Menurut Rodziah, matlamat OSCC memberi perlindungan serta menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa bagi mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, penderaan dan juga kes-kes rogol.

Tambahnya, walaupun pusat ini sudah beroperasi selama tiga tahun lalu tetapi beliau masih belum puas hati dengan tahap kesedaran daripada masyarakat bandar dan luar bandar.

“Kadangkala mereka (mangsa) ini tidak tahu ada akta yang boleh melindungi mereka yang membolehkan mereka membawa pesalah ke peringkat mahkamah. Jadi kita mahu beri mereka pengetahuan tentang hal ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat pusat itu bagi daerah Klang, di Pejabat Daerah/Tanah Klang, di sini.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Rodziah berkata Kerajaan Negeri akan memastikan taklimat-taklimat berkenaan peranan pusat itu dilaksanakan di peringkat kampung, masjid, rumah ibadat dan Pusat Wanita Berdaya seluruh Selangor.

rodziah 03“Sebelum itu, kita akan membimbing pemimpin seperti ketua kampung supaya mereka memahami dan mengetahui OSCC, sekali gus membimbing penduduk di kawasan luar bandar untuk memanfaatkan perkhidmatan yang diberikan oleh OSCC.

“Kita mahu mereka mengadakan taklimat ini sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan,” katanya.

Selain itu, pihaknya akan turut mengeluarkan buku dan risalah sebagai sebaran kepada masyarakat di seluruh pelusuk negeri.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 sebagai bantuan kepada promosi ini selain peruntukkan keperluan hospital dan keperluan peribadi mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Rodziah memaklumkan terdapat lebih 1,000 kes yang dilaporkan di seluruh Selangor.

“Di Selangor, kita mempunyai enam buah OSCC yang terdapat di hospital besar, antaranya Hospital Klang, Ampang, Kajang, Sungai Buloh dan Selayang. Kita juga akan usahakan untuk ke peringkat Hospital Daerah Sabak Bernam dan Kuala Langat,” katanya.


Pengarang :