NASIONAL SELANGOR

Selangor Konsisten Bantu Perjuangan Rakyat Palestin

Sallehen Mukhyi

SHAH ALAM 1 JULAI : Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor berterusan dalam memberikan sokongan moral dan material kepada pejuangan rakyat Palestin.

Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi berkata, Negeri Selangor akan menjadi bumi dan tempat bernaung orang-orang yang dizalimi daripada kekejaman regim Zionist Israel.

“Saya merasa yakin dengan kebangkitan Islam di negeri Selangor ini dengan pertemuan dan pengajian serta pengajian untuk melahirkan ummah yang akan memberikan sokongan kepada umat Islam di Palestin dan seluruh dunia.

“Dataran Kemerdekaan Shah Alam ini sudah menyaksikan sokongan terhadap kebangkitan ummah dalam membebaskan bumi Palestin daripada kekejaman regim Zionist,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dihadapan kira-kira 1,000 orang semasa Majlis Munajat Pembebasan Ummah yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini.

Kata Sallehen, beliau yakin akan perjuangan umat Islam di Palestin akan mendapat kejayaan dalam masa terdekat.

Munahat Palestin

“Kami mengharapkan agar hati dan sanubari rakyat Selangor akan terus bersama dengan golongan umat Islam di mana-mana sahaja dan kita bersedia untuk berhimpun pada bila-bila masa sahaja.

“Dan kita akan bersedia untuk membantu mereka yang dizalimi di mana-mana sahaja,” kata beliau.

Dalam majlis itu turut dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Ahli Majlis Pemegang Amanah Yayasan Al-Quds. yang turut memimpin solat hajat dan munajat untuk pembebasan ummah.

Hadi dalam ucapannya menyeru umat Islam yang mencecah 3 bilion orang perlu mempunyai kekuatan dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan melaksanakan sepenuh ajarannya.

Tambahnya, hanya melalui perjuangan bersama Islam maka bumi Palestin dan dunia Islam dapat dibebaskan dengan tidak terpengaruh kepada perjuangan berasaskan nasionalisme yang di bawa penjajah untuk memecah belahkan umat Islam.

Malam Palestin

“Kita jangan kehilangan punca, perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin adalah teras untuk menyatupadukan seluruh umat Islam,” tegas¬† Hadi.

Turut sama hadir anak kepada As-Syahid Ahmad Yasin, Abdal Ghani A.I Yasin dan adik kepada As-Syahid Dr Nizar A.M Rayyan, Abdal Alatif A.M Rayyan.


Pengarang :