NASIONAL SELANGOR

Tidak Perlu Kebenaran MB Untuk Akses Maklumat Kerajaan Negeri

Elizabeth Sidang DUN

SHAH ALAM 1 JULAI : Rakyat Selangor boleh mengakses maklumat di semua jabatan dalam Kerajaan Negeri tanpa sekatan daripada mana-mana pihak.

Perkara ini dinyatakan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong sebagai jawapan kepada soalan tambahan Datuk Shamsuddin Lias (BN -Sungai Burong) yang sebelum itu mendakwa terdapat sesetengah maklumat perlu meminta kebenaran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Elizabeth menjelaskan dalam Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2013, sekatan hanya akan dilakukan sekiranya maklumat terbabit terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memerlukan kebenaran daripada badan yang terlibat.

“Untuk makluman memang tidak benar kebenaran perlu didapati oleh Menteri Besar, saya syorkan Sungai Burong dan Adun yang lain perlu membaca semula enakmen, di dalam itu disenaraikan maklumat itu boleh didapati dari siapa dan kaedah-kaedah yang digunakan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Selangor (DNS).

Beliau menambah badan maklumat negeri adalah sebuah badan yang bebas dan adil yang mana ahlinya terdiri daripada golongan yang berpengalaman.

Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2013 dikuatkuasa pada 5 Mac 2013 melalui pemberitahuan dalam warta Selangor bersekali dengan dua undang-undang subsidari peraturan-peraturan kebebasan maklumat (akses).

Seramai 41 orang pegawai dari pelbagai Jabatan Negeri dan badan berkanun dilantik menjadi pegawai maklumat.

Mereka diberi pendedahan dan latihan berhubung tugas-tugas melalui dua siri latihan pada bulan Disember 2012 dan Mac 2013.

Mengulas lanjut, Elizabeth memaklumkan pelbagai program akan dijalankan sebagai galakan orang awam menggunakan enakmen itu termasuk pengedaran poster ke semua jabatan sebagai promosi dan pembukaan gerai pameran ke acara Kerajaan Negeri.

Enakmen itu hanya berkuatkuasa kepada Kerajaan Negeri Selangor dan jabatan-jabatan di bawahnya. Jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan walaupun bertempat ataupun bertugas di negeri Selangor tidak termasuk dalam enakmen ini. Maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) juga tidak termasuk.

Undang-undang kebebasan maklumat menetapkan peraturan dalam pemerolehan maklumat yang dipegang oleh badan-badan kerajaan. Undang-undang ini menjelaskan proses perundangan yang mewajibkan maklumat kerajaan dibuka kepada orang awam.

Tujuannya untuk menggalakkan ketelusan dan menangani rasuah.


Pengarang :