Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Umno-BN gagal laksana keadilan sosial pendidikan

ptptn 1

SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Umno-BN gagal untuk melaksanakan tanggungjawab keadilan sosialnya bagi menyediakan pendidikan percuma khususnya kepada golongan yang memerlukan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau menentang cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenaraikan peminjam PTPTN yang tidak membayar pinjaman di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS)

“Ia merupakan tindakan yang akan terus membebankan kewangan kepada peminjam selepas mereka dibebankan untuk membuat bayaran pinjaman pendidikan,” kata Anwar dalam kenyataannya.

Beliau berkata, isu utama yang perlu diberi perhatian bukannya usaha kerajaan untuk memperolehi semula pinjaman berkenaan tetapi adalah tanggungjawab bagi melaksanakan keadilan sosial dalam bidang pendidikan.

Menurut Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, tindakan menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS sebagai tidak mempedulikan kebajikan terutamanya anak muda.

Katanya, tindakan ini akan digunakan oleh institusi kewangan untuk menafikan kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan peribadi kepada peminjam PTPTN yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS.

“Ini bermakna peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga, sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah dan kereta,” kata Rafizi dalam kenyataan medianya.

Beliau memberi amaran kepada Idris Jusoh supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum anak muda peminjam PTPTN dengan menyenaraikan mereka di dalam CCRIS.

“PKR akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang hasrat ini sehinggalah ia dibatalkan oleh Barisan Nasional,” kata beliau.

– MZA


Pengarang :