KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

DAP desak JPM jelaskan kos sebenar belanja Iklan

dap2

KULAI, 22 OGOS: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan perbelanjaan yang dibuat jabatan itu untuk iklan dan publisiti daripada 2008 hingga 2013. Lapor portal roketkini semalam.

?Dalam jawapan ringkas pada sidang Parlimen lalu, Shahidan menyatakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak memberi peruntukan untuk iklan dan publisiti mengikut tahun yang disebut itu tapi hanya pada 13 agensi di bawah jabatan itu yang berjumlah sebanyak RM8,342,057.75 manakala Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) masing-masing sebanyak RM82,402,800 dan RM12,146,255.

?Pendek kata, perbelanjaan JPM untuk iklan dan bahan publisiti sejak 2008 hingga 2013 berjumlah RM102,892,112.75.

?Terdapat perbezaan besar terhadap perbelanjaan iklan JPM. Jika enam bulan tahun ini, JPM membelanjakan RM264 juta untuk iklan, ia adalah mustahil bahawa jumlah perbelanjaan iklan di JPM antara 2008 dan 2013 hanya RM102 juta. Adakah Shahidan memberi angka yang tidak tepat dengan niat mengelirukan Parlimen dan orang awam?,? soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Malay Mail Online, pada 16 Ogos lalu melaporkan menurut agensi pembelian media antarabangsa, Vizeum Media, JPM melakukan perbelanjaan besar daripada peruntukan kerajaan berjumlah RM264 juta bagi bagi tempoh enam bulan tahun ini, lima kali lebih daripada 2012.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, Vizeum Media bukan satu-satunya organisasi yang mendedahkan ketirisan kerajaan itu.

?Awal tahun ini, satu kajian iaitu daripada AC Nielsen mendedahkan bahawa JPM membelanjakan RM170 juta untuk iklan dalam suku pertama 2013, ini membuatkan laporan Vizeum Media lebih meyakinkan.

?Jadi saya minta Shahidan menjelaskan perbezaan itu serta-merta. Jika tidak, saya tidak akan teragak-agak menyatakan beliau mengelirukan Majlis dan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, seperti yang diperuntukkan mengikut Aturan 36 (12) Perintah Tetap pada sidang Parlimen akan datang bermula 23 September ini.

Dalam pada itu, Nie Ching turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PSRM) menyiasat mengenai kempen pengiklanan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 lalu kerana ia merupakan ?penyalahgunaan dana awam? yang jelas.

-Roketkini.com


Pengarang :